Pengumuman gempar Cristiano Ronaldo sejurus tamat final Liga Juara-Juara di Kiev, awal pagi Ahad lalu harus mengejutkan ramai.

Tidak terkecuali Presiden Real Madrid, Florentino Perez.

Tetapi bukan rakan-rakan sepasukannya yang sudah mengetahui lebih awal hasrat tonggak Portugal itu untuk meninggalkan Estadio Santiago Bernabeu.

Dalam minggu-minggu terakhir menjelang final di Kiev itu, Ronaldo telah pun berkongsi dengan rakan-rakan sepasukannya mengenai hasratnya untuk membawa diri mencari haluan baru – atau lebih tepat lagi kekayaan baru.

Maka, mereka tidak pun terkesima dengan pengumumannya untuk memikirkan hala tuju masa depannya – yang rata-rata dianggap sebagai isyaratnya untuk meninggalkan Real Madrid selepas dikalungkan pingat juara buat kali keempat.

Namun, gara-gara dia memilih detik paling tidak bertepatan untuk mengumumkannya itulah yang menimbulkan rasa tidak senang hati rakan-rakan sepasukan.

Dalam pada itu, tanpa disangka pemain-pemain, termasuk Ronaldo sendiri, pengurus, Zinedine Zidane, pula mengumumkan untuk angkat kaki.

Lantaran itu juga, hasrat Ronaldo untuk mengambil langkah yang sama kini terbantut di sebalik rakan-rakan sepasukannya sendiri menganggap dia sudah bermain dalam perlawanan terakhirnya dalam jersi serba putih Los Blancos.

Semua orang seakan-akan sudah tahu apabila ia membabitkan Ronaldo, ia bukanlah sangat mengenai sudah ada tawaran yang sedia menanti.

Ia sebaliknya berkisar kepada niatnya untuk menuntut lebih banyak wang sebagai jaminan untuknya kekal.

Perez sendiri, yang sudah masak dengan gelagat Ronaldo, enggan segera melatah dengan keributan terbaru pemain bintangnya di sebalik berang dengan sikapnya itu.

Bukanlah rahsia Ronaldo mahukan gaji yang sama banyak dengan Lionel Messi di Barcelona dan Neymar di Paris Saint-Germain (PSG) dan sehingga belum mendapatnya, dia tidak akan berdiam diri.

Namun, dengan peletakan jawatan Zidane dan usaha mencari penggantinya kini menjadi keutamaan, isu Ronaldo dengan sendirinya ditenggelami.

Hakikat bahawa Ronaldo terikat dengan klausa pelepasan EUR1 bilion (RM4.64 bilion) juga bermakna anggota lembaga pengarah di Estadio Santiago Bernabeu harus berasa yakin mereka mampu menghalang hasrat Ronaldo untuk mendapat kontrak lebih lumayan ataupun kata duanya untuk meninggalkan pasukan.

Ronaldo mungkin berjaya dengan ugutan-ugutannya pada masa lalu tapi tidak semestinya dia menang selalu.

Tidak banyak pilihan yang ada buatnya ketika Manchester United – yang dihasratkan sebagai persinggahan berikutnya – tidak sanggup memenuhi tuntutan gajinya, apatah lagi klausa pelepasannya.