Cristiano mungkin tewas dalam perebutan Anugerah Pemain Terbaik FIFA awal minggu ini tapi dia kekal atlet paling dikagumi sepanjang 2019.

Hasil satu tinjauan yang dilakukan YouGov – sebuah firma penyelidikan pasaran dan analisis data British -- dalam kalangan lebih 42,000 orang di 41 negara, satu senarai ikon lelaki dan wanita pilihan ramai yang dikeluarkannya menempatkan penyerang Portugal itu selaku yang tertinggi antara semua ahli sukan.

Ronaldo menduduki tangga ketujuh dalam senarai berkenaan – meningkat tiga anak tangga daripada ke-10 tahun lalu – dua anak tangga mengatasi Lionel Messi di tangga kesembilan.



Lebih daripada itu, kedua-duanya turut mengatasi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Pope Francis dalam kalangan tokoh dikagumi dalam senarai berkenaan yang menampilkan Bill Gates, Barack Obama dan Jackie Chan di tiga tangga teratas.

Ronaldo, bagaimanapun, kecewa sekadar menduduki tangga ketiga di belakang Messi dan tonggak pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan ‘The Best’ FIFA lima hari lalu setelah memenanginya pada 2016 dan 2017.

Kedua-dua Ronaldo dan Messi, yang telah mendominasi bola sepak di peringkat tertinggi untuk sebahagian besar daripada 10 tahun lalu, dikatakan saling menghormati di sebalik mengatasi satu sama lain dalam pelbagai catatan rekod peribadi.



Seperti dilaporkan portal Sport Bible, Messi sebelum ini membuat pengakuan secara terbuka yang dia terasa kehilangan saingan Ronaldo dalam LaLiga sejak bekas tonggak Real Madrid itu menyertai gergasi Serie A, Juventus, pada awal musim lalu.

“Sudah tentu saya berasakan kehilangan Ronaldo kerana dia membuatkan Real Madrid lebih kuat,” katanya seperti dipetik oleh Fox Sports.

"Saya sudah katakan yang mereka (Real) akan benar-benar terasa ketiadaan Cristiano kerana mana-mana pasukan yang ditinggalkannya tidak dapat mengelak berasa demikian.

"Mungkin ada beberapa orang yang berasa marah tapi hakikatnya ialah dia menjaringkan 50 gol setiap musim dan menjadi faktor penting dalam kejayaan Real. Kini, seluruh LaLiga berasakan kehilangannya.”

Dalam pada itu, sudah menjadi lumrah bahawa persaingan peribadi di antara Messi dan Ronaldo gemar diperbesar-besarkan oleh peminat dan media.

Tidak menolak hakikat itu, kapten Argentina berkenaan mempertahankan kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik walaupun bukan sahabat karib.

“Ia bagus untuk kami berdua kerana kami saling mahu meningkatkan keupayaan di sebalik hubungan kami bukanlah akrab,” kata Messi.

“Kami cuma saling mengenali menerusi perlawanan di samping pelbagai majlis anugerah yang kami sama-sama hadiri.

“Tapi kami sentiasa mempunyai sesuatu yang baik untuk dikatakan kepada satu sama lain dan apabila berkesempatan, kami akan berbual.”

Senarai terbaru YouGov itu harus tidak mengubah tanggapan Messi terhadap pesaing terdekatnya itu.