Keputusan Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid untuk menyertai gergasi Itali, Juventus, mungkin mengejutkan sesetengah pihak ketika hangatnya saingan Piala Dunia 2018 dan meninggalkan persoalan apakah manfaatnya?

Selepas episod perseteruan pemain dengan penjenamaan CR7 ini bersama bintang Argentina, Lionel Messi di Rusia, Ronaldo ternyata mahu terus mendahului "Curriculum Vitae" yang ditulis Messi.

Ronaldo menutup ceritanya di Santiago Bernabeu dengan merekod 450 gol daripada 438 aksi bersama Real Madrid - pemain paling banyak meledak jaringan buat Los Blancos dan konsisten sepanjang 10 tahun berkhidmat (walaupun kelab itu turut memancing pemain berpotensi besar sepanjang tempoh itu) tetapi kalau sudah namanya Ronaldo, tentu sahaja ia belum cukup memuaskan hati.

Bakal beraksi di Serie A - bermakna Ronaldo kini sudah bersama 3 liga terbaik dunia - selepas Liga Perdana Inggeris (Manchester Unied) dan La Liga Sepanyol (Real Madrid) - menjangkakan Ronaldo memilih untuk jauh dari Messi kerana lebih mudah untuk mencipta sensasi baharu dan merebut gelaran pemain terbaik dunia atau Ballon d'Or.

Pemergian Ronaldo ke Juventus juga memberi lebih ruang buat bekas rakan sepasukan untuk menyerlah, menjadi yang utama dan antara yang dijangka perlu merebut peluang ini adalah Gareth Bale. Pemain ini pernah mencuri tumpuan apabila memadam rekod perpindahan Ronaldo ke Real Madrid menerusi nilai 101 juta Euro pada 2013 tetapi kecederaan berpanjangan telah menenggelamkannya dari menjadi pilihan Zinedine Zidane.

Persaingan tidak semudah itu - Real Madrid yang kini 100 juta Pound lebih kaya, dikatakan lebih berminat dengan pemain yang disebut-sebut kini berada di laluan yang sama dengan Ronaldo dan Messi, iaitu Eden Hazard. Selepas kontroversi berkaitan pengurus baharu, Julen Lopetegui rasanya Real Madrid tiada masalah untuk merencana strategi memancing pemain Chelsea itu pula ke Sepanyol - walaupun bekas pengurus kelab itu, Jose Mourinho pernah mengatakan sebelah kaki Hazard sahaja sudah menyamai nilai 100 juta pound.

Inilah antara kisah menarik yang dinantikan peminat saingan La Liga menjelang pembukaan musim hadapan. Tanpa dua nama besar yang memberi impak beberapa tahun ini dan sentuhan baharu yang cuba dibawa, bagaimana keadaan Real Madrid? Apakah ia cukup segar dan gah untuk mencabar musuh tradisi, Barcelona?

Kebiasaanya perkembangan sebegini menarik minat ramai penyokong bola sepak dunia untuk terus mengikuti La Liga dan secara tidak langsung memberi lebih nilai buat pengamal bola sepak negara itu tetapi tidak mustahil juga jika ada diantara peminat yang sudah muak dengan kisah seperti "curi pemain bintang" dikalangan kelab utama Sepanyol atau memilih Serie A pula selepas ini seperti mana mereka ke La Liga kerana Ronaldo. Penaja-penaja di Itali juga khabarnya sudah tidak sabar menjalin kerjasama dengan Ronaldo mahupun Juventus. Siapa kata ia penamat kerjaya buat pemain berusia 33 tahun ini? Gilakan.