Daripada didatangkan umpama “azimat” buat Juventus, Cristiano Ronaldo sebaliknya kini dilabel sebagai bintang yang semakin malap dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Kenyataan itu bukan pun datangnya daripada musuh, sebaliknya pengurus skuad kebangsaan Itali, Roberto Mancini, yang didasarkannya kepada kekalahan 0-2 skuad Bianconeri itu kepada Atletico Madrid dalam perlawanan pertama pusingan 16, Khamis minggu lalu.

Ronaldo melakukan sejumlah tujuh percubaan di sebalik 64 peratus penguasaan bola di pihak Juventus sepanjang 94 minit di Wanda Metropolitano itu tetapi dia hanya sekali menguji Jan Oblak di pintu gol Atletico.

Kapten Portugal itu sudah menjaringkan 121 gol dalam UCL sepanjang kariernya – 15 gol mengatasi pesaing terdekatnya, Lionel Messi.

Namun, dalam saingan UCL musim ini – kali pertama bersama pasukan berbeza selepas sembilan tahun mencurah keringat untuk Real Madrid – penyerang berusia 34 tahun itu baru menemui jaring cuma sekali dalam enam perlawanan ketika berdepan satu lagi bekas pasukannya, Manchester United, dalam kekalahan 1-2 di laman sendiri 8 November lalu.

The Old Lady kini berdepan tugas amat mencabar untuk menterbalikkan defisit dua gol di Stadium Juventus, 13 Mac ini terhadap Atletico kendalian Diego Simeone yang diketahui sangat liat dan sangat lokek memberikan peluang.



Mancini sendiri tidak berasa begitu pasti.

Tidak juga keyakinannya kepada Juventus untuk menagih magis Ronaldo sepertimana kebergantungan Real Madrid kepadanya dalam musim-musim terdahulu.

“Juve-Atletico? Mereka tahu ia akan menjadi perlawanan sukar," kata Mancini seperti dipetik oleh Tiki Taka.

“Tiada formula ajaib untuk kembali bangkit tapi Juve sebuah pasukan berpengalaman dan mereka mampu bangkit daripada kedudukan 0-3 kepada Real Madrid di laman sendiri musim lalu.

“Ronaldo tidak melakukan dalam Liga Juara-Juara apa yang telah dilakukannya pada masa lalu, (dalam pada itu) dia sentiasa mencapai sesuatu yang penting.

“Dia beraksi baik dalam Serie A. Saya fikir di tahapnya, ia adalah sukar di mana-mana sekalipun.”

Terbaru, bekas rakan-rakan sepasukannya di Real Madrid dilaporkan mengharapkan Atletico akan menyingkirkan Juventus kira-kira dua minggu lagi.

Ia sebagai pengajaran terhadap Ronaldo yang dianggap bekas rakan-rakan sepasukannya itu sebagai angkuh tidak bertempat.

Reaksi berkenaan adalah berikutan tindakan Ronaldo menunjukkan isyarat lima jari kepada penyokong Atletico sebagai menunjukkan dia sudah memenangi UCL sebanyak lima kali sedangkan pasukan mereka belum memenanginya.

Kepada pemain-pemain Real Madrid, ia menunjukkan kurang rasa hormat kepada mereka, seolah-olah dia memenangi lima kejuaraan itu bersendirian tanpa bantuan pemain di sekelilingnya.

Haruslah benar kata-kata Mancini bahawa sinar Ronaldo semakin malap kini.