Masih terngiang-ngiang di telinga jeritan pengulas perlawanan ketika Robert Lewandowski meledak gol pertama Poland di kala sedang ketinggalan 0 - 2 kepada Sweden di kempen Euro 2020 kali ini.

“Robert Lewandowski!... class is permanent...and his class is very, very at high level...” begitulah tingginya sanjungan yang diluahkan. Dan sememangnya diakui kegagalan Poland ke saingan 16 pasukan bukan disebabkan adiwira hebat ini tetapi Sweden lebih bernasib baik.

Tidak dinafikan, dia jadi sasaran kecaman tatkala Poland tewas aksi pertama berdepan Slovakia. Dengan usia sudah menginjak 32 tahun, memang mudah dia dipersalahkan. Namun pemain yang sarat dengan kejayaan bersama kelab ini langsung tidak terkesan.

Lewandowski pantas menutup kesilapan dan memadam ego Sepanyol dengan gol penyamaan. Tetapi kemuncaknya ialah misi hidup dan mati menentang Sweden. Dua kali dia jadi penyelamat, bergegar seluruh stadium sehingga ke Warsaw!

Tetapi sayang seribu kali sayang, kealpaan pertahanan 240 saat selepas jam berhenti pada angka 90 minit, membawa berita duka. Seolah bergelap seluruh bumi Poland ketika Victor Claesson menjaringkan gol kemenangan Sweden.





Longlai seluruh tubuh Lewandowski, tertunduk layu. Penat jerihnya memacu Poland tidak lagi bermakna dan jadi pengakhiran yang memilukan. Lebih mendukacitakan Lewandowski mungkin tidak lagi menyarung jersi negaranya di pentas EURO edisi berikutnya. Mungkin Piala Dunia 2022 yang terakhir. itupun jika Poland layak ke Qatar.

Menyingkap biografinya, Lewandowski memiliki 122 kaps antarabangsa dengan 69 gol, rekod terunggul skuad Poland. Lewandowski tampil dalam 3 edisi EURO sejak 2012 dan beraksi di Piala Dunia 2018.

Tetapi dia lebih menyerlah bersama kelab diwakili, terutamanya Bayern Munich. Bayangkan tujuh musim bersama gergasi Bundesliga itu, 6 kali dia meraih trofi Kasut Emas - terbaru edisi 2020/2021 dengan 41 gol.

270 gol keseluruhan di Bundesliga meletakkan dia di posisi kedua kepada lagenda Gerd Muller selaku ‘Bundesliga All Time Top Scorer’. Begitulah hebatnya pemilik nama Robert Lewandowski ini.

Tetapi sayang reputasi besarnya kini tiada lagi di EURO 2020.

Robert Lewandowski sudah pulang!