Hanya seminggu selepas disahkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 3 Julai lalu, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah segera melaksanakan perubahan dalam pentadbiran persatuan itu.

Dalam mesyuarat eksekutif FAS yang pertama dipengerusikan Tengku Amir pada 10 Julai, baginda segera melantik seorang muka baru iaitu Dr Johan Kamal Hamidon sebagai Setiausaha Agung baru FAS menggantikan Rosman Ibrahim yang meletak jawatan.

Dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Eksekutif FAS turut menerima peletakan jawatan dua Naib Presiden FAS iaitu Datuk Lim Thean Sheang dan Nizam Sani.

Bendahari FAS Datuk S.Sivasundram yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk bersara selepas tamat saingan Liga Super musim ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAS menerima peletakan jawatan Rosman dan Sivansundram meskipun dua pegawai itu sudah berkhidmat lebih sedekad dengan FAS.

Ia jelas memberi gambaran, Tengku Amir mengotakan janjinya untuk melakukan perubahan serta mencari nafas baru dalam pentadbiran FAS.

Dr Johan turut diberi kepercayaan selaku Naib Presiden FAS bersama seorang lagi muka baru, Izhar Moslem.

Dr Johan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Komuniti Belia Selangor (SAY), sebuah badan bukan kerajaan yang diterajui sendiri Tengku Amir.

SAY turut terbabit dengan penganjuran saingan bola sepak amatur Selangor Champions League (SCL) tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

Izhar pula adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor serta mempunyai pelbagai pengalaman pengurusan dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Kini, sudah pasti peminat setia Selangor mengharapkan kemasukan dua muka baru yang masih belum mencecah usia 40 tahun itu bakal memudahkan segala perubahan yang dirangka Tengku Amir buat FAS dilaksanakan.

Aspek pemasaran, program pembangunan akar umbi dan pengurusan Liga Selangor yang lebih berkesan dijangka menjadi tumpuan FAS selepas ini selain pembentukan skuad utama yang lebih ampuh dalam saingan Liga Super.

Apa yang penting kini juga, adalah buat FAS terus bergerak ke hadapan dibawah pimpinan Tengku Amir serta pastikan tiada lagi pertelingkahan dalaman seperti yang pernah berlaku sebelum ini.