Kos menganjurkan Sukan Asia bukan main-main.

Indonesia memperuntukkan RM11 bilion untuk jadi penganjur buat kali kedua selepas 1962 sekaligus menunjukkan betapa serius republik itu.

Apa yang membuatkan kos begitu mahal?

"Kos penganjuran temasya saja USD400 juta (RM1.64 bilion). Itu belum termasuk kos utama iaitu pembinaan venue, perkampungan sukan dan pengangkutan," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan
Asia Indonesia 2018 (Inasgoc), Erick Thohir.

"Kami perlu bijak menguruskan dana ini kerana ia membabitkan banyak cukai rakyat. Setakat ini, majoriti rakyat Indonesia menyokong usaha kerajaan sekaligus memudahkan persiapan temasya," katanya.

Saya pernah mengajukan soalan ini kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Beliau menegaskan, Sukan Asia bukan keutamaan Malaysia kerana baru saja menganjurkan Sukan Sea 2017.

Tetapi jika kerajaan sanggup mengeluarkan dana, MOM sedia sahut cabaran.

Perlu diingatkan, Malaysia sudah memiliki venue terbaik, sistem pengangkutan dan kepakaran menganjurkan temasya sukan besar oleh itu hanya perlukan RM550 juta untuk menganjurkan Sukan Sea 2017.

Begitupun, syarat Majlis Olimpik Asia (OCA) ialah tuan rumah perlu membina perkampungan sukan sekaligus jadi cabaran utama mencari dana.

Jika ditanya kepada rakyat, jawapannya berbelah-bagi.

Ada yang menyokong, mahu Malaysia melangkah setapak lagi kerana kita belum pernah menganjurkan Sukan Asia dan Olimpik.

Ada juga yang membantah. Dakwa mereka, lebih baik dana itu digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Terserah kepada pandangan masing-masing. Apa yang pasti, kos menganjurkan temasya sukan makin meningkat.

Jika Indonesia membelanjakan RM11 bilion, berapa pula kos untuk Hangzhou, China (2022) dan Nagoya, Jepun (2026)?



Perlu diingatkan, penganjur Sukan Asia 2014, Incheon, Korea Selatan membelanjakan RM6.6 bilion.

Andai Malaysia berminat jadi tuan rumah 2030, berapa pula kos ketika itu?