Dua keadaan berlawanan berlangsung di dua venue berbeza aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi, dengan Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) riuh-rendah dek sorakan bersemangat manakala Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) ‘sepi bak kuburan’.

Skuad Harimau Malaya mendahului hanya 34 saat selepas sepak mula untuk kesudahannya tunduk 1-2 kepada gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang rata-rata menimbulkan rasa ralat berbanding kekecewaan.

Ralat kerana barisan kendalian Tan Cheng Hoe itu dirasakan sudah menyerlahkan antara permainan terbaiknya berdepan sebuah pasukan lawan dari Negara Teluk hanya untuk kesudahannya dikecewakan dua detik kehilangan fokus yang dihukum dengan sebegitu berat.

Tambah ralat apabila Malaysia sudah dapat menangani corak fizikal sebuah pasukan Arab dibandingkan ketika tewas 0-1 kepada Jordan (ranking ke-99 dunia) dalam perlawanan pemanas badan menjelang kempen kali ini, dengan Farizal Marlias dan rakan-rakan tidak pun menunjukkan rasa kerdil atau gentar.

Jauh lebih ralat apabila Harimau Malaya ternyata berupaya menyaingi UAE yang berjurang 94 anak tangga di ranking ke-65 dunia, untuk mengimbangi kedudukan 1-1 dalam separuh masa pertama, namun membenarkan lawan bangkit memenangi perlawanan dalam separuh masa kedua.



Keputusan seri, sekurang-kurangnya, dirasakan lebih adil buat kedua-dua pasukan tapi bola sepak berkisar kepada siapa yang menjaringkan lebih banyak gol ke atas lawannya dan sebarang sentimen selebihnya tidak bermakna apa-apa.

“Kita bermain dengan sangat baik. Anda berhak berasa bangga #HarimauMalaya!,” ciap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerusi Twitter selepas perlawanan itu sebagai menawarkan kata-kata semangat

Tewas tipis, atau dengan perbezaan gol lebih besar, tetap bermakna kehilangan tiga mata berharga tapi Harimau Malaya masih boleh meraih sagu hati dengan kesedaran 43,200 penonton berbayar tetap memberanikan diri menyedut jerebu tebal untuk menyorakkan sokongan mereka.

Ia tetap satu rahmat besar – sesuatu yang tidak pun dinikmati seteru rapat, Indonesia, yang tunduk kali kedua dalam kempen kali ini ketika ditewaskan Thailand 3-0 di Gelora Bung Karno, setengah jam lebih awal.



“GBK Sepi Bak ‘Kuburan',” kata tajuk portal berita INDOSPORT.COM.

“Hanya ada sekelompok kecil penonton di tribun barat, timur, utara dan selatan. Jumlahnya pun terhitung sangat sedikit, jika dibandingkan kapasitas Stadion GBK yang mencapai lebih dari 70,000 kerusi.

“Mirisnya, keberadaan pendukung timnas Indonesia itu pun 'kalah' suara dibanding suporter Thailand yang juga hadir di stadion. Tampak pendukung tim tamu bernyanyi dengan semangat diiringi tabuhan drum yang memecah kesunyian Stadion GBK,” kata laporan itu lagi.

"Masyarakat bosan setelah kemarin kalah dari Malaysia, jadinya sepi," ujar Muhammad Ridwan, salah seorang penyokong skuad Garuda itu.

Portal itu menyimpulkan sepinya GBK malam tadi juga disebabkan mahalnya harga tiket -- termurah dari angka Rp125,000 (RM37) hingga Rp1 juta (RM297).

Penyokong Indonesia juga sempat menyanyikan lagu sindiran untuk Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang didakwa hanya mengaut keuntungan daripada penjualan tiket, dibandingkan prestasi pasukan.

"Tiketnya mahal, tiketnya mahal, mainnya jelek," demikian nyanyian penyokong Garuda yang kecewa pasukan mereka sudah tewas dua perlawanan dan bolos enam gol untuk mengisi tangga tercorot Kumpulan G.



Menurut laporan INDOSPORT, penonton di tribun barat, utara dan selatan GBK secara berulang kali meneriakkan 'Simon Out' sebagai bentuk kekecewaan terhadap ketua jurulatih, Simon McMenemy, di samping menuntut kapten dan penjaga gol, Andritany Ardhiyasa, digugurkan.

Daripada segi itu, Harimau Malaya harus jauh lebih bertuah.