Temasya Sukan Olimpik Rio 2016 akan berlangsung tidak lama lagi dan kami di Astro Arena sudah sibuk membuat persiapan bagi menyediakan liputan terbaik buat penonton Saluran 801 dan 802 HD. Malah, lebih daripada separuh staf Astro Arena sudah pun berada di sana sejak minggu lepas untuk melakukan tugasan.

Ini merupakan kali pertama saya benar-benar terlibat dalam liputan Sukan Olimpik di Astro Arena. Jadi sebagai 'first-timer', ada beberapa perkara yang telah pun saya masukkan dalam 'Wish List' Olimpik.

1. Emas Pertama

Belum pernah lagi negara kita merasa kilauan emas di bawa pulang ke tanah air dalam temasya Olimpi, jadi adakah tahun ini atlet kita mampu melakarkan sejarah buat Malaysia? Ramai yang mengharapkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, untuk merealisasikan impian ini....tapi mungkinkah ada juga peluang sebegini buat atlet yang lain?

2. Kejutan Dilakarkan

Dalam mana-mana sukan pun pasti ada senarai nama yang dijangka boleh meraih kemenangan ataupun pingat... Ada juga nama-nama yang jarang kedengaran sebab tidak ramai yang menaruh harapan tinggi buat mereka. Jadi, di sini, saya harap mereka ini, tetap akan terus berjuang bersungguh-sungguh sebab ingat, anda memikul nama Malaysia dan dalam sukan, apa pun boleh terjadi. 'Prove the doubters wrong okay?'

3. Atlet Negara Makin Disegani

Percaya ataupun tidak, masih ramai lagi yang memandang rendah ke atas sukan negara kita, termasuklah atlet-atlet kita yang bermati-matian berhempas pulas untuk Jalur Gemilang. Adakalanya rasa sungguh tidak adil bila diperlakukan sebegini. Sebab itulah saya berharap sangat atlet negara kita mampu membuktikan kebolehan Malaysia untuk melahirkan juara agar kita akan makin disegani di peringkat tertinggi.

4. Kualiti Sukan Kita Meningkat

Beraksi di dalam Olimpik bukanlah perkara yang 'biasa-biasa' sahaja. Olimpik merupakan impian semua atlet dan berpeluang beraksi mewakili negara merupakan pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Mudah-mudahan dengan peluang dan pengalaman sebegini, kualiti sukan dan atlet negara kita juga boleh meningkat demi masa hadapan sukan Malaysia.

5. Tugasan Lancar

Sebagai salah seorang ahli keluarga Astro Arena, saya mendoakan agar segala tugasan rakan-rakan di sana lancar dan harap mereka sentiasa dalam keadaan yang selamat. Berkelana di tempat orang dan menunaikan tanggungjawab selama sebulan bukanlah sesuatu yang mudah. Semoga kalian sentiasa dalam pelindungan-Nya. Amin.

Bagi anda yang menyokong Malaysia, jangan ketinggalan untuk mendapatkan laporan terperinci mengenai Sukan Olimpik Rio 2016 di Astro Arena, Saluran 801 dan 802 HD! #AyuhMalaysiaku