Zaman kegemilangan Mohd Syamim Yusuf ialah ketika bantu Skuad Projek 2013 raih tangga keempat Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India.

Ketika itu, mereka cukup dihormati sebagai pasukan handalan dunia untuk saingan peringkat usia bawah 21 tahun.

Selepas lima tahun, masing-masing membawa haluan sendiri. Ada yang terpilih mewakili skuad senior, ada yang bermain di luar negara atau membina kerjaya.

Mereka sibuk dengan kehidupan sendiri hingga ada yang terlupa, penyerang utama terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kaki kiri Syamim dijangkiti kuman.

Bermula dengan bisul, lama-lamaan kuman merebak hingga dia terpaksa ke HKL.

Doktor terpaksa memotong sebahagian besar betis kiri sekaligus otot yang pernah berlari untuk negara hilang begitu saja.



"Hanya beberapa rakan datang menjenguk. Pemain atau jurulatih hoki belum lagi. Nasib baik ada keluarga yang tidak jemu menjaga sejak hari pertama saya dimasukkan ke hospital.

"Dalam keadaan sekarang, saya rindu bermain hoki, terutama ketika bersama Skuad Projek 2013.Tapi apakan daya, saya terpaksa menolak tawaran bermain di kelab Itali dan Oman sepanjang tahun ini kerana perlu menjalani proses pemulihan," kata Syamim.

Jurulatih Skuad Projek 2013, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sedang sibuk mempersiapkan pasukan wanita ke Sukan Komanwel sementara pemain seperti Faizal Saari, Shahril Saabah, Mohd Azri Hassan, Fitri Saari, Faiz Helmi Jali, Meor Azuan Hassan dan Mohd Hafizuddin Othman akan mengibar cabaran untuk pasukan lelaki.

Mereka semua pernah bersama Syamim di New Delhi.

"Ketika itu, kami turun sebagai underdog. Tiada siapa sangka kami mampu mara ke separuh akhir. Saya gembira dengan bekas rakan sepasukan yang berjaya mewakili skuad senior negara.

"Saya mendoakan mereka berjaya di Sukan Komanwel. Saya akan menyokong mereka di televisyen," katanya.

Saya mengenali Syamim sebagai pemain yang mempunyai karakter 'berlagak'. Tetapi, dia berlagak dengan lawan di atas padang.

Penyerang selalu memiliki karakter sebegitu kerana mereka wajib menewaskan pertahanan untuk menjaringkan gol.

Kali ini Syamim diuji. Semoga semangat juang Skuad Projek 2013 membantunya untuk kembali ke padang hoki.