Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-53 yang berlangsung 25 Mac lalu menyaksikan pertukaran individu yang memegang jawatan presiden FAM, sekaligus menyaksikan beberapa keputusan drastik dialkukan secara serta-merta.

Paling mencuri tumpuan tentunya pelantikan Mario Gomez menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee selain penyingkiran Frank Bernhardt selaku jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017 yang diambil alih oleh Datuk OKS.

Mengakui tiada apa lagi yang boleh dilakukan kerana keputusan telah dibuat, pengendali Jerman itu akur dan hanya mahukan perbincangan lanjut dengan pihak FAM untuk meyelesaikan isu seperti pampasan, surat penamatan kontrak dan juga sebarang urusan rasmi bagi memudahkan beliau meneruskan tugas kejurulatihan di masa akan datang.

Untuk rekod, Bernhardt hanya sempat membimbing Skuad Projek 2017 kurang daripada 20 perlawanan dan misi utama merangkul emas Sukan SEA gagal disudahkan kerana keputusan pihak pengurusan.

Prestasi skuad projek di bawah bimbingan beliau juga tidaklah terlalu bagus dan tidaklah terlalu teruk, mungkin sesuai dikatakan 'biasa-biasa' sahaja.

Pengganti beliau, Datuk OKS, pula sememangnya diketahui ramai memang mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti bakat-bakat muda. Memang tepat plihan Tunku Mahkota Johor (TMJ) memilih pengendali kelahiran Melaka itu kerana itulah 'forte' Datuk OKS sejak dahulu lagi.

Cuma yang bakal menjadi penghalang utama ialah kekangan masa dalam mempersiapkan pasukan memandangkan Sukan SEA 2017 akan membuka tirai kira-kira empat bulan saja lagi.

Jika berjaya meraih emas nanti, memang bagus. Tetapi jika tidak, janganlah dihentam teruk Datuk OKS kerana beliau hanya mengambil alih pasukan pada saat-saat akhir.

Buat Bernhardt pula, selamat maju jaya diucapkan dan terima kasih atas segala sumbangan dan keringat melatih Skuad Projek 2017.

Mungkin bukan rezeki Bernhardt untuk menghasilkan magis bersama Skuad Projek 2017 seperti yang pernah dilakukannya bersama skuad belia Estonia dan Azerbaijan dahulu.