Tanggal 11 September 2016 kini pasti akan dikenang sebagai hari bersejarah sukan negara dengan kejayaan atlit Paralimpik negara meraih tiga butir pingat emas dalam satu hari di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

Bagi penulis, Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly adalah atlit luar biasa dan berhak meraih emas dalam acara masing-masing berkat kesungguhan dan komitmen mereka ketika latihan serta beraksi di pentas dunia membawa cabaran negara.

Kejayaan tiga atlit ini di Rio juga pasti akan mampu meningkatkan moral dan keyakinan atlit para lain apabila bersaing di peringkat antarabangsa selepas ini serta meningkatkan tahap atlit para negara ke aras lebih tinggi keseluruhannya.

Sudah pasti kejayaan tiga atlit ini akan turut membuatkan golongan OKU kini lebih dihargai di mata masyarakat Malaysia selepas berjaya mengangkat nama negara di persada dunia

Secara peribadi, penulis berasa terkilan sebelum ini dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak prihatin dengan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana penulis mempunyai seorang sepupu daripada golongan ini.

Ia seakan-akan menjadi kebiasaan buat kita apabila melihat tempat letak kereta buat golongan OKU di pusat membeli belah disalahgunakan golongan normal dengan meletak kenderaan mereka kerana sikap kurang prihatin yang penulis maksudkan.

Penulis berharap tumpuan meluas media arus perdana terhadap Ridzuan, Ziyad dan Latif di atas kejayaan di Rio, akan membuatkan masyarakat lebih prihatin terhadap golongan OKU.

Bukan mudah buat insan OKU bergelar atlit dan kerana itu juga penulis menyokong tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk menetapkan atlit para menerima ganjaran sama dengan atlit normal pada 2013.

Ridzuan yang menyumbang emas pertama acara 100 meter T36 dengan 12.07 saat, mempunyai cerebal palsy (gangguan pergerakan), manakala Ziyad yang meraih emas lontar peluru F-20 (16.84m) dan Abdul Latif yang raih emas lompat jauh T-20 (7.60m) mempunyai kekurangan dari segi masalah pembelajaran.

Jadi, bayangkan betapa sukar buat tiga atlit ini berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan harian sebelum diiktiraf sebagai atlit para berkelas dunia.

Pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio bakal mendapat ganjaran RM1 juta, RM300,000 untuk perak dan RM100,000 bagi gangsa menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Malaysia (SHAKAM).

Tahniah sekali lagi buat Ridzuan, Ziyad dan Latif dan penulis berharap anda bertiga akan terus mendominasi kejohanan antarabangsa selepas Paralimpik di Rio.