Itali mengesahkan tempat di Euro 2020 menerusi kemenangan ke atas Greece bagi aksi ketujuh kumpulan J, hasil jaringan bintang Chelsea, Jorginho dan pemain sayap Juventus, Federico Bernardeschi, membolehkan anak buah Roberto Mancini mengumpul 21 mata, jauh meninggalkan pencabar lain seperti Finland yang hanya meraih 12 mata di tangga kedua.

Aksi meyakinkan yang dipamer Itali sepanjang kempen kali ini menimbulkan minat mendalam kepada pemerhati bola sepak dunia tentang siling kemampuan barisan ‘lama dan baru’ Gli Azzurri, dengan penanda aras adalah mengulangi kejuaraan pada penampilan pertama kejohanan eropah pada 1968.

Penampilan pertama Itali untuk merebut piala dunia pula berlangsung pada edisi kedua kejohanan iaitu pada 1934, yang turut membuahkan kejuaraan, diikuti 3 lagi kemenangan, termasuk penambahan pada era bola sepak moden, 1983 dan 2006.

Menyentuh sejarah bola sepak Itali, zaman 1930-an dilihat paling menarik bukan sahaja kerana 2 kejuaraan berturut-turut tetapi ia turut membabitkan kontroversi dimana ketika itu, pasukan bola sepak memainkan peranan dalam propaganda rejim yang memerintah dan mampu memberi impak yang cukup besar kepada perkembangan politik.

Itali dibawah pimpinan rejim Benito Mussolini yang merupakan rakan sekutu ikon popular dari Jerman, Adolf Hitler, sanggup menjadi penganjur kejohanan pada penyertaan pertama mereka serta memberi rasuah dan mengatur perlawanan dalam memastikan kelancaran perjalanan Gli Azzurri menjulang trofi Piala Dunia.

Perkara itu kemudiannya didedahkan pihak-pihak yang tidak senang dengan Benito Mussolini, namun ia hanya menaikkan semangat para pemain seperti Luigi Allemandi dan Giuseppe Meazza untuk membuktikan bahawa Itali sememangnya layak diangkat sebagai pasukan terbaik dunia.

Usaha keras mereka membuahkan hasil apabila Itali meraih pingat emas di Sukan Olimpik Berlin 1936 dan mempertahankan kejuaraan Piala Dunia pada 1938 dimana formula Benito Mussolini dikatakan cuba dicedok Adolf Hitler untuk perjuangan Jerman di Perancis ketika itu tetapi gagal - dan inilah pentas terakhir para pengamal propaganda bersaing di kancah sukan, sebelum perang dunia kedua meletus.

Kini pada era perang laman sosial, bagaimana pula agaknya sejarah yang bakal dicipta Itali dengan filosofi bola sepak millenialnya? Cabarannya mungkin nampak mudah tetapi kadang kala keterbukaan berkongsi perkembangan semasa mahupun analisa dari pelbagai pihak, termasuk mereka yang tidak memiliki kelayakan juga mampu membuat Itali atau mana-mana pasukan gergasi gigit jari.