Kadang-kala, kita perlu berkorban demi kejayaan orang lain.

Apatah lagi seorang pemimpin atau ketua, pengorbanan perlu dilakukan demi memastikan pengikut mereka dapat menjalankan tugas dengan optimum terutama ketika menggalas tanggungjawab negara.

Saya bercakap mengenai Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader.

Kedua-dua individu ini mengawal sepak takraw di Malaysia, Singapura dan benua Asia.

Ironinya, mereka kerap bertegang leher dan semuanya mengenai sepak takraw.

Bermula dengan isu bola Maraton Gen 2 pada Sukan Sea 2007, penarikan diri Piala Dunia (Piala Raja Thai) 2016 hingga ke undian Sukan Asia Indonesia 2018.

Ada saja isu membabitkan kedua-dua tokoh sepak takraw ini.

Namun saya melihat dalam semua kes, Malaysia yang rugi.

Sama ada PSM berdepan risiko didenda atau atlet tidak dapat beraksi, natijahnya pasukan berputih mata selepas penat berlatih.

"Inilah yang berlaku apabila tiada pegawai Malaysia memegang jawatan besar di peringkat antarabangsa. Kita akan sentiasa jadi mangsa," kata bekas pengumpan negara, Rosli Abd Rahman.

Saya setuju dengan pandangan bekas pemenang dua pingat emas Sukan Asia 1990 itu.

Walaupun kita tidak suka dengan kehadiran ahli politik dalam sukan, tetapi mereka memainkan tugas penting dalam hal-hal seperti ini.

Ada bekas atlet berminat tetapi kebanyakan mereka lebih mengutamakan pekerjaan selepas bersara. Jadi niat untuk menabur kembali jasa kepada sukan terpaksa dipendamkan.

Dalam isu undian sepak takraw, saya fikir lebih baik Ahmad Ismail merendahkan ego. Beliau perlu mengadap Halim atau Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Jeneral Charouk Arirachakaran, secepat mungkin.

Jika Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persekutuan Hoki Asia boleh selesaikan isu undian acara mereka di Sukan Asia, mengapa tidak sepak takraw?

Ahmad Ismail tidak akan dipandang rendah kerana menurunkan ego. Malah, anda akan diangkat sebagai wira jika dapat selesaikan isu ini. Sekurang-kurangnya kapten, Mohd Syahir Rosdi, dan rakan-rakan akan bermain bermati-matian untuk anda!

Malah jika Malaysia berjaya raih emas acara regu, kali pertama sejak 24 tahun lalu - anda akan dikenang sebagai individu yang berjaya menyelesaikan isu paling dramatik dalam sejarah sepak takraw negara.

Jadi, kurangkan ego. Pergilah bertemu Halim dan Charouk.

Bukan untuk diri sendiri tetapi pemain, jurulatih, pemain peringkat negeri, kanak-kanak yang mula belajar menimbang bola rotan di sekolah. Masa depan sepak takraw terletak di tangan anda.