“Tidak, ini bukan mimpi,” tulis Bayern Munich dalam Twitter disertai gambar Renato Sanches.

Entri itu menyimpulkan ada sinar baru buat Sanches di Allianz Arena di sebalik khidmatnya kian dipandang sepi oleh pemerhati tetapi tidak buat pengurus, Niko Kovac.

Pengendali baru Bayern Munich itu, yang tiba musim panas lalu, berulang kali menegaskan Sanches adalah pemain berbeza.

Ia hasil pemerhatiannya terhadap persediaan Sanches bagi menyahut cabaran musim ini.

Jauh berbeza ketika kesangsian terhadapnya memuncak selepas Bayern mengeluarkan dana sebanyak EUR35 juta (RM169.7j) bagi menjamin khidmat pemain tengah itu daripada Benfica pada Januari 2016.

Kegagalannya untuk mengulangi rentak yang menyaksikannya dijulang sebagai budak emas Euro 2016 menyaksikan dia dipinjamkan ke Swansea dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) setahun selepas itu.

Pergerakannya tampak berat, hilang keyakinan selain masalah kecederaan berulang membataskannya untuk memulihkan sentuhannya.

Lantaran itu, namanya tercicir daripada rombongan Portugal ke Piala Dunia di Russia, Jun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Kovac untuk melaungkan keyakinannya terhadap bintang muda berusia 21 tahun itu sejak musim panas lalu.

Kovac membuat kejutan dengan menyenaraikan Sanches dalam kesebelasan utamanya menentang bekas kelab, Benfica, dalam saingan Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Dia menandakan penampilannya dengan mencetuskan larian bertenaga dari kawasan sendiri sebelum menyudahkannya dengan tampanan mudah.

Ia jaringan hasil gabungan bukan sahaja ketajaman penyudahnya, bahkan didorong keinginan tingginya.

Tidak hairan, gerombolan penyokong di Estadio da Luz memberikan tepukan gemuruh bagi menyambut kepulangan bekas pemain mereka itu.

Bagi Kovac, Sanches ibarat jelmaan ketua pasukan Jerman, Lothar Matthaeus, yang menjulang Piala Dunia 1990.

Bahkan, Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, yang lantang bersuara, turut kagum dengan Sanches dan menegaskan ia satu aksi terpuji, apatah lagi selepas dua tahun tenggelam sehingga pembeliannya dianggap satu kerugian besar.

Kini, dia sudah benar-benar bersedia untuk menggugat posisi Thiago Alcantara yang selesa menjadi perancang utama Bayern.