England menentang Jerman, pertembungan dua negara yang pastinya paling dinanti-nantikan di peringkat 16 terakhir Euro 2020 -- perlawanan yang tidak asing dengan drama tersendiri sejak bertahun-tahun lalu.

The Three Lions yang dipimpin oleh Gareth Southgate bakal berhadapan dengan pasukan Joachim Low di hadapan 40,000 penonton di Stadium Wembley.

"Jadi, nampaknya sekarang ini kami akan terbang ke England pula.

"Bagi saya, ia adalah satu perkara menggembirakan untuk bermain di London, di Stadium Wembley, kami semua teruja," ujar Low.

Biarpun rekod Jerman dalam pertandingan setakat ini tidaklah begitu memberangsangkan, nada Low yang penuh dengan ketenangan dan keyakinan tidak menghairankan.




Ini kerana rekod England dalam berhadapan dengan Jerman sejak dahulu lagi bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Menurut statistik yang direkodkan oleh laman sesawang 11vs11.com, jika kita melihat daripada keputusan perlawanan bermula 21 tahun yang lepas, kedua-dua pasukan ini telah bertembung sebanyak 14 kali.

Dalam 14 perlawanan tersebut, England hanya berjaya mencatatkan kemenangan sebanyak empat kali.

Mereka sekadar seri dalam perlawanan persahabatan terakhir yang berlangsung pada tahun 2017, manakala baki sembilan perlawanan yang lain berkesudahan dengan kekalahan.

Kekalahan paling perit pastinya dalam Piala Dunia 2010, di mana gol hasil rembatan jarak jauh Frank Lampard tidak diambil kira, biarpun dengan jelas bola sudah melepasi gawang yang diawasi oleh Jens Lehmann, penjaga gol Jerman dalam temasya tersebut.

Mungkin kegeraman pemain England akibat kesilapan pengadil itu mengakibatkan mereka gagal mengawal emosi dan akhirnya dibelasah 4-1.

Dalam artikel yang diterbitkan oleh laman sesawang BBC, bekas penyerang kebangsaan England, Alan Shearer, menegaskan bahawa cabaran sebenar Euro 2020 untuk negaranya bakal bermula di peringkat 16 terakhir ini, tetapi mereka tidak ada apa-apa yang harus ditakutkan.

"Bagi saya, nampaknya Southgate agak risau dengan kelemahan pasukan di bahagian pertahanan dan dia telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut.

"Namun, akibat terlalu mementingkan pertahanan, ia memberikan impak besar terhadap barisan serangan pula.

"Statistik serangan England dalam pertandingan setakat ini tidak memberangsangkan, di mana jumlah rembatan dan jumlah peluang jaringan yang dicipta adalah lebih rendah berbanding kesemua pasukan lain yang layak ke peringkat 16 terakhir ini.






"Pada masa yang sama, harus diingat bahawa Jerman telah dibolosi dalam setiap perlawanan mereka setakat ini.

"Biarpun barisan serangan England masih belum ampuh sepenuhnya, saya berpendapat kepantasan pemain kami akan membuatkan Jerman kucar-kacir.

"Tidak kira apa pun yang berlaku dalam sejarah, England tidak ada sebarang sebab untuk gentar dengan Jerman.

"Malah, sejujurnya saya masih belum melihat mana-mana pasukan yang harus kami geruni setakat ini,"
begitulah sebahagian daripada petikan kata-kata Shearer.

Dari pihak Jerman pula, bekas pemain tengah mereka, Lotthar Mathaus, mempunyai pendapat tersendiri.

Matthaus merupakan salah seorang pemain dalam pasukan Jerman yang menewaskan England pada pusingan penalti dalam peringkat separuh akhir Piala Dunia 1990.

"Saya akui bahawa England memang mempunyai peluang untuk menang tetapi jika perlawanan berlanjutan sehingga ke pusingan penalti, maka lupakan sahajalah.

"Jerman tidak mungkin tewas pada pusingan penalti, jadi England haruslah berhempas-pulas dalam 120 minit perlawanan jika mereka mahu layak ke peringkat seterusnya."






Perlawanan di antara dua negara ini juga merupakan sesuatu yang cukup istimewa buat pemain paling muda dalam sejarah pasukan kebangsaan Jerman, Jamal Musiala.

Musiala dilahirkan di Jerman tetapi membesar di England dan pernah menyarung jersi pasukan remaja kebangsaan England.

Dia bagaimanapun memilih untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Jerman pada akhirnya dan membuatkan Southgate menggigit jari.

Apabila ditanya pendapatnya, Musiala cuma memberikan jawapan selamat.

"Saya bakal berhadapan dengan negara yang saya anggap sebagai rumah kedua.

"Ia bakal menjadi satu perlawanan yang cukup menarik dan suasana di Wembley pastinya begitu menakjubkan nanti.

"Saya sempat berbual dengan rakan saya, Jude Bellingham, dan kami berdua cukup teruja untuk beraksi."

Adakah skrip Piala Dunia 2010 bakal berulang, ataupun adakah England mampu menyeru semangat lama pada tahun 2001 di mana mereka membelasah Jerman 5-1?

Adakah benar England tiada harapan jika perlawanan berlanjutan sehingga ke peringkat penalti?
Kita saksikan jawapannya pada tanggal 30 Jun ini.