Kejayaan menewaskan kelab Inggeris, Liverpool, dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memberikan Real Madrid gelaran ke-13 bagi kejohanan berprestij di rantau berkenaan.

Lebih manis, ia merupakan gelaran ketiga berturut-turut buat kelab dari Sepanyol itu sejak diterajui oleh legenda Perancis, Zinedine Zidane.

Selepas hambar dalam saingan La Liga, di mana Real hanya mampu meraih kedudukan ketiga, sekali gus gagal pertahankan gelaran, hanya trofi UCL mampu menjadi pengubat kekecewaan berkenaan.

Nyata "tuah" Zidane dalam pertandingan ini berterusan apabila tiga kali pasukannya mara ke final dan setiap kali itu juga Real bergelar juara.

Dalam saingan yang kompetitif di Eropah ini, kejayaan Real untuk menjuarai UCL sebanyak tiga kali berturut-turut pastinya sesuatu yang sukar untuk diulangi oleh pasukan lain pada masa akan datang.

Malah, dalam kem Real sendiri masih berkira-kira terhadap kemampuan untuk terus pertahankan gelaran ini kerana semakin lama pastinya cabaran dan tekanan semakin sukar buat mereka.

Pujian juga perlu diberikan kepada bola sepak Sepanyol secara amnya kerana dalam tempoh enam tahun terakhir kelab dari negara ini mengungguli sama ada UCL mahupun saingan Liga Europa (hanya semusim sahaja dominasi itu disekat oleh Manchester United yang memenangi Liga Europa 2016/2017)

Selepas ini tumpuan bakal terarah seketika kepada saingan Piala Dunia di Rusia dengan beberapa kelab ternama di Eropah khususnya cuba untuk menilai kemampuan pemain yang boleh "dipancing" oleh mereka.

Sudah pasti Real juga tidak terkecuali dalam proses untuk membina semula pasukan setelah bintang yang sebelum ini disinari oleh tonggak Portugal, Cristiano Ronaldo semakin pudar dalam memastikan kelab itu terus kekal menjadi kuasa utama Eropah.