Muhammad Ziyad Zolkefli memecah rekod dunia lontar peluru dengan lontaran 17.29 meter dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London.

Atlet 27 tahun dari Selangor ini menggamam tujuh pencabar lain menerusi lontaran pertama untuk memecah rekodnya sendiri 16.84 meter yang dicatat dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beraksi dalam kategori F20 (masalah pembelajaran) Ziyad juga salah seorang atlet yang menyumbang pingat emas Paralimpik berada pada tahap mental dan fizikal terbaik untuk mengulangi kejayaannya dalam kejohanan dunia 2013 di Perancis.

Sekadar menjulang pingat gangsa edisi 2015, Ziyad dilihat cukup bersedia untuk memberi saingan kepada atlet normal di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Rekod acara lontar peluru Sukan SEA masih dipegang oleh atlet Thailand, Chatchawal Polyiam, dengan lontaran 17.74 meter yang dilakukan dalam Sukan SEA 2011, Indonesia.

Dua edisi lalu, pelontar negara Adi Aliffudin Hussin mencatat 17.10 meter dan 16.96 meter untuk memenangi pingat perak di Myanmar serta gangsa di Singapura.

Ziyad yang telah dinobatkan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2013 akan mencipta sejarah sebagai atlet para pertama meraih pingat emas acara lontar peluru dalam Sukan SEA jika
dia berjaya di Kuala Lumpur nanti.

Peluang sudah pasti terbuka untuk Ziyad kerana rekod dunia paranya tidak jauh daripada lontaran pemenang pingat emas Sukan SEA di Singapura 2015, Promrob Juntima dari Thailand yang melakukan lontaran 17.47 meter.

Atlet para, Ziyad Zolkefli, akan mencatat sejarah sekali lagi?

Ya, sudah pasti.