Selangor melancarkan jersi baru pasukan mereka di Sunway Resort & Spa, Bandar Sunway, Sabtu lalu.

Apa yang menariknya, jersi rekaan jenama Sepanyol, Joma, itu turut diperkemaskan dengan jalur hijau di kolar dan lengan jersi utama pasukan berkenaan.

Jersi kedua pula menggunakan warna putih sebagai warna utama dengan jalur melintang di bahagian dada berwarna merah dan kuning, persis jersi yang dipakai pasukan Jerman Barat sewaktu menjulang Piala Dunia 1990.



Bagaimanapun, rekaan jersi utama berkenaan mendapat kritikan daripada sebahagian penyokong pasukan Gergasi Merah itu.

Ada yang mempersoalkan keperluan sisipan warna hijau dalam jersi berkenaan yang terkeluar daripada lumrah warna rasmi pasukan Selangor -- merah dan kuning.

Secara peribadi, saya berasakan tiada sebarang kesalahan tentang sisipan warna berkenaan yang memberikan nilai tambah dalam jersi itu.

Harus diingati, warna hijau merupakan warna rasmi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengambil alih kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak enam bulan lalu.

Jika dikaji lipatan sejarah pasukan Selangor, warna hijau bukanlah kali pertama diselitkan dalam jersi utama pasukan itu.

Bahkan, legenda terulung bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, juga pernah menggunakan jersi dengan jalur hijau di dada sewaktu membantu Selangor menjulang Piala Malaysia edisi 1986.

Mungkin juga mereka yang mengkritik jersi terbaru berkenaan tidak mengkaji sejarah pasukan Selangor ataupun tergolong dalam golongan "budak-budak baru nak up" (BBNU).

Jika diteliti secara terperinci, rekaan jersi utama pasukan Selangor musim lalu juga mempunyai jalur hijau halus menegak di sisi kiri dan kanan.

Jadi kepada golongan BBNU berkenaan, sila kaji betul-betul dan jangan melemparkan kritikan secara tidak berasas.



Jersi kedua (berwarna putih), bagaimanapun, mendapat pujian melambung memandangkan ia menggunakan warna ketiga bendera Selangor.

Namun, terdapat juga cakap-cakap nakal yang mengatakan rekaan jersi berkenaan kelihatan seperti jersi pelumba basikal pasukan jelajah.

Sebagai salah seorang penyokong pasukan Selangor, saya berasakan tiada sebarang cela dalam rekaan jersi terbaru pasukan itu.

Ia mempunyai makna penuh simbolik bagi mengenang zaman kegemilangan pasukan yang kaya dengan sejarah dan tradisi itu.

Semoga dengan pelancaran jersi baru berkenaan, Selangor akan kembali menjadi "aksara" teragung bola sepak negara seperti satu masa dulu.