Setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti bola sepak dijalankan, pengurusan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tidak menunggu lama untuk menggerakkan semula aktiviti-aktiviti yang telah NFDP rancangkan. Hampir enam bulan segala aktiviti NFDP terganggu disebabkan pandemik COVID-19, namun kini semua program NFDP telah pun berjalan, bermula dengan latihan di empat puluh lapan Akademi Tunas di seluruh Malaysia diikuti dengan Liga Akademi Tunas peringkat zon (LATZ). Ini perkembangan yang menggembirakan bagi ibu bapa dan anak-anak yang mengikuti program Akademi Tunas kerana sebelum ini mereka begitu bimbang dengan program latihan Akademi Tunas itu yang sudah tertangguh begitu lama.

Dengan bermulanya latihan dan Liga Akademi Tunas (LATZ) ia sudah pasti akan melegakan pasukan kejurulatihan pemilihan pemain ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), walaupun mereka mempunyai data pemain tetapi dengan adanya latihan dan pertandingan itu mereka akan dapat melihat sendiri perkembangan terkini anak-anak Akademi Tunas terutama dalam aspek teknikal dan perkembangan minda sebelum kata putus dilakukan untuk memilih lima puluh pelatih terbaik untuk dimasukan ke AMD bagi pelatih bawah 13 tahun untuk tahun hadapan. Atas faktor itu juga pengurusan NFDP terus bergerak merancang untuk membuka cawangan baru Akademi Tunas untuk terus mencari dan memantau bakat-bakat baru dan berpontensi untuk dipilih ke AMD.

Yang terkini pengurusan NFDP akan membuka satu lagi cawangan baru Akademi Tunas di Kota Belud, Sabah dimana ia telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa PEMANDU NFDP pada hujung minggu lalu. Pemilihan daerah Kota Belud, Sabah sebagai salah satu cawangan baru Akademi Tunas begitu bertepatan sekali kerana di daerah itu telah banyak melahirkan ramai pemain-pemain Kebangsaan dan negeri Sabah sendiri seperti lagenda bola sepak Malaysia Matlan Marjan, Zainizam Marjan dan generasi pertama NFDP, Harith Naim yang pernah berkhidmat untuk pasukan bawah 16 tahun Malaysia di Kejohanan Kelayakan AFC U16 pada tahun 2018 dan kini bersama Selangor II.

Dengan wujudnya AT Kota Belud itu akan meluaskan lagi kesedaran, penyampaian dan pemahaman tentang falsafah bola sepak negara yang diwujudkan NFDP. Ini merupakan Akademi Tunas yang ke tujuh dibuka di Sabah, sudah pastilah dengan jumlah itu Sabah merupakan negeri yang terbanyak membuka Akademi Tunas setakat ini. Kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh anak-anak Kota Belud untuk terus menonjolkan bakat mereka supaya dapat dilihat oleh pasukan kejurulatihan pemilihan NFDP untuk dibawa ke AMD. Itulah jambatan yang terbaik untuk anak-anak Kota Belud sekiranya ingin terpilih ke AMD.