Liverpool harus menyalahkan diri sendiri gara-gara kegagalan barisan pertahanan memastikan mereka menutup suku pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017-18 dalam kelompok elit.

Ketika ini, The Reds menghuni tangga ketujuh. Namun, seandainya mereka tidak keciciran dua mata ketika berdepan Newcastle United hujung minggu lalu, slot keempat EPL sudah pasti menjadi milik mereka tatkala prestasi mereka sepanjang bulan lalu diselubungi kritikan.

Sejurus perlawanan tersebut, ramai pemerhati melihat anak buah Jurgen Klopp terlalu lembab untuk menggerakkan bola sehingga sukar untuk menggegar gawang lawan dalam usaha kembali memimpin perlawanan.

Bahkan, Klopp sendiri membidas persembahan pemainnya di St James' Park itu.

Ia ibarat satu tamparan hebat buat pengendali Jerman itu yang bergelut untuk mencari formula terbaik bagi mengimbangi keampuhan benteng dan jentera serangan.

Kedudukan itu dilihat mampu membantu Klopp menutup mulut pengkritiknya selepas kaedahnya mula mengundang sangsi oleh penyokong sendiri.

Liverpool, yang dibolosi 12 kali dalam kempen liga, muncul antara pasukan yang kerap dibolosi tetapi prestasi goyah itu diimbangi jumlah 13 jaringan yang terhasil selain rekod peluang terbanyak dicipta dalam EPL -- 137 kali.

Ketika ini, pertahanan kelab Merseyside itu ditunjangi oleh Dejan Lovren, Joel Matip, Ragnar Klavan, Alberto Moreno dan Joe Gomez.

"Kalau masalah itu dapat diatasi dengan seorang pemain sahaja, anda boleh membayangkan kami akan melaburkan segala duit yang ada untuk melakukannya.

"Kami perlu belajar untuk mendominasi dan tidak melepaskan gol dengan mudah," katanya sebaik mencapai keputusan seri 2-2 dengan Sevilla dalam Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Dalam 10 perlawanan terakhir, mereka hanya tewas sekali, iaitu ketika berdepan Manchester City dengan 10 pemain.

"Kalau mereka bertahan seperti itu (menentang Newcastle), maka mereka tiada peluang (untuk memenangi kejuaraan). Gol yang dilepaskan mereka adalah terlalu mudah," kata bekas penjaga gawang kelab itu, Chris Kirkland.

Pengendali Jerman itu perlu mencari jawapan berkenaan di padang latihan sepanjang dua minggu ini, lebih-lebih lagi mereka bakal menyambung perjuangan EPL berdepan musuh ketat, Manchester United, 14 Oktober ini.

Ia sebagai satu penanda aras buat Liverpool untuk berada dalam landasan betul memburu kejuaraan ketika Klopp sendiri memasuki musim ketiganya di England di sebalik pencapaian konsisten menempatkan diri dalam saingan Liga Europa dan seterusnya Liga Juara-Juara.