Terus saja kepada kesimpulan – merudumnya kedudukan juara sembilan kali berturut-turut Serie A, Juventus, musim ini bukan hanya patut dipersalahkan kepada pengurus, Andrea Pirlo, atau Cristiano Ronaldo.

Sebaliknya, terlucutnya mahkota daripada kepala mereka adalah angkara kesilapan yang sama berulang-ulang kali.

Bertitik tolak daripada kekalahan 1-4 kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara 2017 di Stadium Millenium, Cardiff, tuah dan keajaiban The Old Lady jelas semakin berpenghujung ketika itu.

Sambil di satu pihak, Real Madrid menjadi pasukan pertama mempertahankan trofi ‘Old Big Ears’ itu, di pihak berlawanan pula, Juventus tewas final kelimanya berturut-turut dan tujuh daripada sembilan final yang ia layak.

Tempoh kekuasaan The Old Lady sudah pun berakhir dan ia bukan semata-mata salah Pirlo atau Maurizio Sarri atau Massimiliano Allegri sebelumnya.



Bukan juga ia berlaku sepanjang 12 bulan sebelumnya, sebaliknya Juventus, seperti dirumuskan oleh laman web SBNATION, telah diuruskan dengan teruk dan secara tidak konsisten untuk kerosakannya semakin ketara kini.

Hilang pegangan terhadap Scudetto sepanjang sembilan musim terdahulu, skuad I Bianconeri itu mungkin terpaksa bersaing dalam Liga Europa musim depan – betapa ia mengaibkan jika berlaku.

Seawal 2018 lagi, masalah sebenar Juventus berkisar kepada barisan tengahnya. Tatkala Miralem Pjanic kekal tonggak terbaiknya di bahagian itu, Sami Khedira pula semakin dipersendakan sumbangannya.

Di sebalik Blaise Matuidi menghadirkan sedikit keseimbangan, gandingan Stefano Sturaro, Rodrigo Bentancur dan Claudio Marchisio tidak menjadikan mereka antara barisan tengah terbaik di dunia.

Lebih menghairankan, ketika bahagian midfield memerlukan rombakan pada musim panas 2018, mereka sebaliknya mendatangkan Cristiano Ronaldo.



Sebelum ketibaannya, The Old Lady menjaringkan 86 gol pada musim 2017-18. Namun, dengan kehadirannya, jumlah itu merosot kepada hanya 70 tapi memiliki pemain dengan reputasi besar sepertinya penting untuk meningkatkan nilai komersial kelab berkenaan.

Cuma, tiada penambahbaikan di bahagian midfield. Emre Can ternyata tidak konsisten, Bentancur kekal bergelut sambil tidak banyak mampu dilakukan Matuidi untuk membaiki keadaan.

Tambah memburukkan keadaan, midfield bukan satu-satunya bahagian yang bermasalah. Pertahanan juga menampilkan pemain yang semakin dipanjat usia dan beransur perlahan.

Pada ketika kedua-dua bahagian ini memerlukan lebih tumpuan, ketibaan Ronaldo memesongkan tumpuan daripada sepatutnya sedangkan barisan serangan adalah yang paling kurang bermasalah sebelumnya.

Hakikatnya bagaimanapun kekal bahawa keretakan yang terserlah dalam final UCL 2017 itu – barisan midfield yang goyah dan senarai pemain semakin berusia – mewajahi pasukan yang ada hari ini.

Pelaburan besar ke atas Ronaldo, pergelutan dalam UCL dan deretan pengurus bersilih-ganti semuanya menyumbang kepada tersembamnya sang gergasi kini.

Kemaraan ke UCL musim depan – Juventus masih berpeluang tipis secara matematik di tangga kelima saat ini – barangkali akan memberikan sedikit kelegaan sementara tapi ia akan membawa bersamanya pelbagai persoalan dan himpunan masalah baru pula.

Juventus dan jolokan The Old Lady harus amat seiringan.