Pelbagai variasi rumusan dibuat terhadap merudumnya Real Madrid ketika ini. Anehnya, setiap satu seakan-akan bersepakat ia berkisar kepada dua individu yang tidak lagi bersama pasukan – Cristiano Ronaldo dan Zinedine Zidane.

Andai waktu boleh diputar ke belakang dan keadaan dapat dikembalikan kepada sebelumnya, harus Presiden Real Madrid, Florentino Perez, tidak akan merelakan pemergian kedua-duanya tanpa mengira berapa banyak wang diperlukan untuk memastikan itu.

Namun, pada penghujungnya, Perez jugalah yang harus dipersalahkan, mengatasi setiap seorang jurulatih dan pemain yang lebih dipertanggungjawabkan ketika ini.

Real Madrid memulakan musim 2018-19 berdepan musuh setempat, Atletico Madrid, yang berkesudahan dengan keaiban daripada kekalahan 2-4 dalam Piala Super UEFA di A. Le Coq Arena, Tallinn, Estonia pada 16 Ogos lalu – dua gol Diego Costa selain jaringan Saul Niguez dan Koke menceriakan lawan.

Namun, juara Eropah 13 kali itu bangkit menumpaskan Getafe 2-0 dan Leganes 4-1.

Dalam pada itu, bahtera Real Madrid kelihatan goyah menghadapi tentangan lebih kuat, baik dalam LaLiga mahupun Liga Juara-Juara (UCL). Los Blancos kelihatan kerdil ketika tunduk 0-3 kepada Sevilla, disusuli keaiban 0-1 kepada CSKA Moscow.

Menambah garam kepada luka mereka, barisan kendalian Julen Lopetegui itu kemudian tewas 0-1 dengan jaringan masa kecederaan di tangan pasukan bawahan, Deportivo Alaves.

Real Madrid terus gagal mencetak jaringan sejak gol Marco Asensio ketika menundukkan Espanyol 1-0, 23 September lalu dan rata-rata ini disebabkan ketidakupayaan pasukan untuk menembusi lawan yang gemar bertahan.

Ketika Ronaldo mula menyertai Real, kelab itu bergelut untuk layak sekalipun ke suku akhir UCL. Sejak ketibaannya, skuad Galacticos itu memenangi segala-galanya yang hanya dapat mereka impikan selama sedekad sebelumnya.

Ronaldo sentiasa hadir, sama ada sebagai penyelamat mahupun wira kemenangan – rekod 451 golnya dalam tempoh hanya sembilan tahun untuk tampil penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu memadai dijadikan bukti.

Namun, selepas kapten Portugal itu angkat kaki, terserahlah kepada Lopetegui untuk mengimbangi pasukannya bagi menggantikan seorang pemain yang mampu menyumbat 50 gol semusim. Ia tidak akan semudah yang dia harapkan.

Sorakan “Ronaldo, Ronaldo” ketika mereka terikat 0-0 dengan Atletico Madrid adalah isyarat jelas penyokong merindui legenda mereka itu.



Apakah lagi?

Mewarisi kerusi panas Zidane, Lopetegui memulakan musim ini dengan baik hasil bola sepak mengagumkan tapi ia cuma bersifat sementara kerana sistem permainan diterapkannya jelas berbeza dengan legenda Perancis itu.

Berbanding Zidane yang mampu mengerah yang terbaik daripada setiap individu di bawah jagaannya, Lopetegui pula cuba memperkenalkan sistem di mana skil individu setiap pemain digarap menghasilkan yang terbaik sebagai sebuah pasukan.



Peralihan daripada Zidane kepada Lopetegui, ini sebenarnya satu perubahan taktikal yang besar dan memerlukan semusim penuh untuk dihayati pemain-pemainnya. Kesudahannya, pemain mudah menjadi keliru dan sukar untuk menjayakannya.

Apatah lagi, pendekatan Zidane sebelumnya memberikan mereka tiga kejuaraan UCL berturut-turut dan bagaimana mungkin ia boleh diubah.

Perez, di sebalik dikenali sebagai seorang diktator bola sepak, tidak boleh mencuci tangannya. Angkaranyalah, Zidane dan Ronaldo memilih untuk angkat kaki di samping gagal mendatangkan pengganti setanding buat mereka.

Pada ketika pelantikan Lopetegui jelas dibuat secara tergesa-gesa, Perez hanya menggunakan sebahagian kecil daripada keuntungan penjualan Ronaldo kepada Juventus untuk membeli Vinicius Jr. dan Mariano yang tidak mungkin dapat mengisi kasut besar yang ditinggalkan Cristiano.

Adakah kita masih berasa hairan Real Madrid sedang terumbang-ambing ketika ini?

Mungkin kita tidak perlu menunggu pertembungan El Clasico dengan Barcelona, 28 Oktober ini, untuk diyakini.