Kelibat bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, masih segar dalam ingatan penulis walaupun jurulatih dari Argentina itu sudah lama meninggalkan kancah bola sepak Malaysia.

Gomez meleraikan ikatan bersama skuad Harimau selatan beberapa hari sebelum perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kedah awal tahun lalu atas sebab yang tidak didedahkan pengurusan pasukan.

Mengimbau kembali kenangan penulis bersama Gomez, terlalu banyak momen menarik yang sukar dilupakan terutama ketika penulis mahu menemubual beliau sebelum dan selepas perlawanan kerana sikapnya yang cukup mesra media.

Dan karakter itu sedikit sebanyak ada pada bekas pembantunya, Raul Longhi, yang diberi mandat untuk menyandang kerusi panas jurulatih JDT sebagai pemangku selepas pengendali terdahulu, Ulisses Morais, meninggalkan pasukan ini awal tahun ini.

Setahu penulis, Longhi antara 'set' jurulatih yang dibawa Gomez pada 2015 dan kedua-duanya merupakan rakan akrab memandangkan kedua-duanya dilahirkan di Mar del Plata, Argentina.

Gandingan mereka antara lain berjaya memastikan kejayaan buat pasukan ini dalam tempoh dua tahun sejak 2015 dan paling istimewa, gelaran Piala AFC yang menjadikan JDT pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak tanahair.

Kini, Longhi berpeluang membuktikan kemampuannya sebagai peneraju utama JDT selaku gergasi bola sepak tanahair dan beliau tampak mampu melakukannya menerusi kemenangan ke atas Terengganu 1-0 dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu pada Sabtu.

Kejayaan itu hadir pada ketika JDT kehilangan penggempur berbisa Jorge Pereyra Diaz yang dilepaskan pasukan ini dan Luciano Figueroa akibat kecederaan di samping kapten Safiq Rahim selaku pemain tempatan terbaik di negara ini tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jika Longhi mampu memastikan momentum cemerlang itu berterusan, penulis percaya beliau akan dilantik untuk mengemudi JDT dalam misi mengekalkan kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia selain kembali merampas trofi Piala FA.

Longhi lebih banyak menjadi pembantu jurulatih dalam kariernya sejak 1986 dan antara pasukan ternama di Eropah yang pernah dibantunya Espanyol, Villarreal, Panathinaikos dan Zaragoza.