Berbanding Lionel Messi dan isteri, Antonella Roccuzzo, ketiga-tiga anak lelaki mereka hanya mengenali kota raya Barcelona sebagai tempat lahir dan tempat tinggal.

Tidak hairanlah Thiago, Mateo dan Ciro menangis pada saat dimaklumkan mereka sekeluarga akan berpindah ke tempat baru.

“Apabila saya memaklumkan hasrat saya untuk berpindah kepada isteri dan anak-anak, ia satu drama yang kejam,” kata Messi dalam temu bualnya dengan Goal.com sambil menjelaskan keputusan terbarunya untuk kekal seperti dipetik akhbar sukan harian Sepanyol, Marca.

“Seluruh keluarga mula menangis. Anak-anak saya tidak mahu meninggalkan Barcelona atau menukar sekolah.

“Tapi saya melihat jauh ke depan dan saya mahu bersaing di peringkat tertinggi, memenangi gelaran, bersaing dalam Liga Juara-Juara.

“Anda boleh memenanginya atau gagal kerana ia teramat sukar tapi anda perlu bersaing. Sekurang-kurangnya bersaing untuknya dan tidak merelakan kami rebah di Rome, Liverpool, Lisbon.

“Semua itu mendorong saya untuk memikirkan keputusan yang saya mahu laksanakan.

“Mateo masih kecil dan tidak mengerti apa maknanya untuk berpindah ke tempat lain dan memulakan hidup baru di sana.

“Thiago, dia lebih tua, dia terdengar sesuatu di televisyen dan mengetahui sesuatu lalu bertanya.

“Saya tidak mahu dia tahu apa-apa mengenai dipaksa untuk pergi, terpaksa berpindah ke sekolah baru atau mencari kawan baru.

“Dia menangis kepada saya dan berkata ‘Kita janganlah pergi’.

“Saya ulangi bahawa ia benar-benar sukar.

“Anak-anak saya, keluarga saya, mereka semuanya membesar di sini dan mereka memang dari sini.

“Tidak ada salahnya dengan keinginan untuk pergi.

“Saya perlukannya, kelab juga memerlukannya dan ia baik untuk semua orang.

“Isteri saya, dengan rasa berat hati, menyokong dan menemani saya,” kata Messi yang telah menghabiskan 20 tahun di Barcelona.



Buat Messi, kekal di tempat lama kecuali perlu menyesuaikan diri dengan pengurus baru, Ronald Koeman, dan mungkin beberapa rakan sepasukan baru susulan keputusanya untuk menyambung khidmat setahun lagi, harus lebih mudah berbanding bermula sekali lagi di tempat lain.

Sambungnya dalam temu bual itu: “Ia tahun yang amat sukar. Saya sengsara dalam latihan, perlawanan dan juga dalam bilik persalinan.

“Segala-galanya menjadi sukar dan waktu itulah apabila saya menimbangkan untuk mencari cita-cita baru.

“Ia bukan kerana kekalahan besar kepada Bayern dalam Liga Juara-Juara – saya sudah memikirkan keputusan itu sejak sekian lama.

“Saya sentiasa berkata saya mahu berakhir di sini dan tinggal di sini.

“Saya mahukan satu projek yang berjaya dan memenangi gelaran bersama kelab ini serta terus mengembangkan legenda Barcelona.

“Perkara sebenarnya ialah tiada projek atau seumpamanya dalam tempoh yang lama, mereka cuma menutup lubang-lubang yang ada.

“Saya mahu pergi kerana saya memikirkan untuk menghabiskan sisa-sisa karier saya dalam bola sepak dengan gembira.

“Akhir-akhir ini, saya tidak menemui kegembiraan di kelab ini lagi,” katanya.

Mengenai masa depannya, Messi berhujah: “Sebenarnya, saya tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Ada jurulatih baru dan idea-idea baru. Itu bagus tapi kita perlu melihat bagaimana pasukan bertindak balas dan sama ada ia membolehkan kami bersaing di tahap tertinggi.

“Apa yang saya boleh kata ialah saya akan kekal dan akan memberikan yang terbaik untuk Barcelona,” katanya lagi.

Ia harus keputusan yang sukar buat Messi ketika ini tapi satu perubahan pendirian yang menggembirakan isteri dan anak-anak mereka.