Harus hancur luluh hati Ole Gunnar Solskjaer apabila penggantinya sudah dijulang dan disanjung umpama dewa belum pun dia memulakan tugasnya.

Tidak henti-henti berita tentang seorang pengurus bernama Ralf Rangnick dilaporkan sejak semalam.

Penangan Manchester United dan pencarian pengurus sementara mereka akhirnya bakal menemui pengakhiran -- sesuatu yang dipersetujui ramai merupakan satu pilihan teramat tepat.

"Selepas ini, United akan lebih teratur di atas padang, dan itu tidak bagus untuk kelab-kelab lain.

"Rangnick adalah seorang pengurus yang teramat luar biasa dan terkenal atas pencapaiannya membawa Hoffenheim dan RB Leipzig ke satu tahap yang tidak pernah dikecapi sebelum ini," ujar pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.



Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, memberikan pujian yang serupa terhadap bekas gurunya itu.

"Rangnick adalah pelopor formasi 4-4-2 yang mengetengahkan strategi tekanan berterusan secara agresif.

"Dalam kancah bolasepak Jerman, tiada sesiapa yang lebih arif dalam strategi sebegini berbanding Rangnick, dia adalah seorang pengurus elit."

Sistem 'gegenpressing' atau definisinya strategi tekanan berterusan apabila kehilangan penguasaan bola, merupakan sesuatu yang digunakan dengan jayanya oleh Klopp bersama Liverpool.

Gegenpressing merupakan sistem ciptaan Rangnick dan Klopp sebenarnya mendapat inspirasi untuk mengaplikasikannya berdasarkan cara penggunaan dan pengajaran Rangnick bersama skuadnya yang lain.

Laporan akhbar British, Daily Mail, mencadangkan bahawa Rangnick mungkin membawa satu jam khas yang digunakan untuk melatih pemainnya tentang penguasaan sistem tersebut.

Dalam penggunaan gegenpressing di bawah kendalian Rangnick, pemain akan diberikan tempoh lapan saat untuk memenangi semula bola apabila hilang penguasaan dan diberikan 10 saat untuk melakukan percubaan ke pintu gawang lawan selepas bola berjaya dimenangi semula.

Jam khas ini dilaporkan telah digunakan secara menyeluruh oleh RB Leipzig sewaktu tempoh kendalian Rangnick bersama mereka.

Sistem tekanan berterusan sebegini diramalkan bakal membawa nafas baru terhadap United dan memberikan impak besar kepada pemain muda dan rajin seperti Mason Greenwood, Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Donny Van Den Beek yang dahulunya tenggelam.

Namun, Cristiano Ronaldo dikhabarkan bakal lemas dengan sistem ini kerana dia wajib memberikan sumbangan daripada segi pertahanan, sesuatu yang nampaknya tidak dia gemari.

Menariknya tentang Ronaldo, sewaktu Rangnick masih bersama RB Leipzig, dia pernah dipetik sebagai berkata bahawa Ronaldo dan Lionel Messi tidak sesuai dengan sistem permainannya kerana mereka sudah terlalu tua.



Jika kenyataan itu dilakukan lima tahun lalu, bagaimana agaknya layanan Rangnick terhadap Ronaldo selepas ini?

Masihkah Ronaldo bakal menjadi pemain utama United atau bakal diketepikan?

Sesuatu yang penting untuk diperhatikan juga adalah pelantikan Rangnick sebagai seorang perunding buat United selepas tempoh enam bulannya sebagai pengurus sementara berakhir.

Artikel-artikel lalu mengupas kelemahan lembaga pengarah United dalam pelbagai hal-ehwal pengurusan kelab, antaranya aspek pembelian pemain baru dan strategi perkembangan jangka panjang pemain.

Dengan kebijaksanaan dan visi Rangnick, segala kelemahan ini seharusnya beransur-ansur diperbaiki dan United diharapkan bakal mengambil langkah pertama untuk kembali ke tahap yang digeruni ramai sebelum ini.

Solskjaer? Barangkali nama dan kehambarannya selaku pengurus United sebelum dipecat, akan cepat terpadam daripada ingatan.