Kejayaan Liverpool meraih kejuaraan keenam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pagi Ahad lalu sudah pasti mengubati kekecewaan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Bukan mudah buat mana-mana pengurus dan pasukan, beraksi di final sebuah kejohanan penting selepas hanya tewas dengan perbezaan satu mata di saingan EPL.

Ia memerlukan kekuatan mental, kecekalan dan keyakinan tinggi yang menjadi tiga faktor jelas dimiliki Liverpool dan pengurus mereka, Jurgen Klopp.

Selaku penyokong tegar Liverpool, penulis yakin dengan kemampuan pengendali kelahiran Jerman ini sejak menyertai pasukan walaupun risau dengan rekodnya yang tewas di kesemua enam aksi final sebelum ini.

Namun, Klopp bukan saja memecah badinya selepas Liverpool menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 tetapi juga membuktikan formulanya dalam membentuk pemain menjadi.

Jika dilihat kepada rekod Klopp sebelum ini, dia tidak mengambil mana-mana bekas pemainnya di kelab lama bersamanya berjuang di kelab baru.

Selain itu, percaturan taktikal 'counter pressing' yang menjadi pendekatannya jelas begitu menjadi.

Pada pengamatan penulis, mungkin kerana kejayaannya menggunakan 'counter pressing' menjadi sebab mengapa dia tidak perlu mengambil pemain daripada mana-mana bekas kelabnya.

Tidak seperti pengurus lain yang berbelanja besar, Klopp lebih gemar mengambil pemain yang mampu bermain mengikut taktikal yang dimahukannya.

Counter pressing memerlukan pemain segera mendapatkan bola selepas kehilangannya kepada lawan.

Pendekatan ini memerlukan kepantasan, organisasi yang baik serta stamina yang cukup tinggi.

Roberto Firmino, Mo Salah dan Sadio Mane berjaya dalam formasi 4-3-3 Klopp adalah kerana mereka adalah pemain yang mampu melakukan pressing (tekanan) awal kepada pemain lawan.

Bahagian tengah The Reds yang diterajui Georgino Wijnaldum, Jordan Henderson dan Fabinho pula kerap merampas kembali bola selepas kehilangannya kepada pemain lawan.

Penulis percaya, kejayaan UCL ini akan menyuntik keyakinan pemain Liverpool dalam memastikan kejuaraan EPL mampu diraih.

Penulis berharap, jurulatih-jurulatih tempatan mampu mempelajari pendekatan taktikal Klopp selepas ini.