Kekalahan 1-5 secara agregat kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu menyaksikan berakhirnya kempen Selangor musim ini.

Secara tidak langsung, harapan untuk memastikan sasaran sekurang-kurangnya satu piala seperti yang dicanang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak awal musim ini, musnah serta-merta.

Sejak dari awal, ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mendapat kecaman sebahagian besar penyokong skuad Gergasi Merah Kuning itu.

Namun, jika disingkap pencapaian keseluruhan pasukan itu musim ini, ia bukanlah kegagalan secara total.

Selangor menamatkan Piala FA dalam pusingan ketiga tetapi mereka muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super – di belakang Pahang dan juara enam kali berturut-turut, JDT -- dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Di samping itu, Selangor menghasilkan 41 gol sepanjang kempen liga musim ini untuk menjadi pasukan kedua terbaik di belakang JDT (49 gol) selain turut menjaringkan 13 gol daripada keseluruhan 10 perlawanan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, mereka dibolosi 35 kali dalam liga, yang juga rekod terburuk bagi kelompok separuh teratas musim ini -- 1. JDT (19), 2. Pahang (21), 4. Kedah (29), 5. Perak (31), 6. Melaka (30).

Ia menunjukkan bahawa masalah utama pasukan itu adalah jentera pertahanan, yang dikepalai pemain import, Taylor Regan, dan pertahanan kanan skuad kebangsaan, Syahmi Safari.

Perkara itu turut diakui Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

"Kalau dilihat daripada segi jaringan gol, kami berada di tangga kedua di belakang JDT," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, daripada aspek serangan, Selangor masih antara yang terbaik dalam liga.

"Komponen yang perlu diperbaiki adalah pertahanan kami," katanya lagi.

Walaupun gagal mencapai sasaran dan dikecam hebat penyokong sendiri, Sathianathan hampir pasti mengekalkan jawatannya untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.

"Kami bersedia untuk mengekalkan jurulatih Sathia untuk setahun lagi," tambah Dr. Johan.

"Beliau tahu apa yang perlu diusahakannya.

"Kami juga sudah mengenal pasti dan menandatangani pemain yang akan dibawa masuk.

"Secara amnya, pasukan Selangor sudah bersedia untuk musim depan," katanya.

Sempena berakhirnya kempen Selangor, diharapkan pasukan itu dapat mengatasi pencapaian musim ini dalam kempen berikutnya tahun depan.

Buat FAS, teruskan usaha anda untuk memartabatkan pasukan Selangor selaku pasukan moden yang akan lebih disegani peminat bola sepak tempatan.

Buat Sathianathan pula, anda tahu apa yang perlu diusahakan dan diharapkan daripada segenap penyokong mahupun pihak pengurusan Selangor.

Buat peminat Selangor, teruskan sokongan anda dan berdiri teguhlah di belakang ketua jurulatih anda.
Datanglah ke stadium dan bantulah pasukan kesayangan anda itu untuk kembali menjadi pasukan yang paling digeruni di Malaysia.

Jika kena "bahan", senyumlah dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Lupakan segala persengketaan. Kita tutup buku lama dan kita buka buku baru.

Boleh jugalah sekiranya anda mahu membaca mentera penutup gua Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok: "Rampo ngiseng semar tilem."