Ya, Sergio Ramos memang p*%[email protected] dan kerana itulah, dia telah memenangi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga tahun berturut-turut.

‘Dream Team’ daripada akhbar dengan edaran paling meluas di Britain, The Sun, tampil mempertahankan ketua pasukan Real Madrid itu di sebalik cemuhan ramai gara-gara dia mencederakan bintang Liverpool, Mohamed Salah, dalam final UCL di Kiev, awal pagi Ahad lalu.

Kata Dream Team: “Ya tiada siapa yang sukakan dia tapi apakah dia ambil peduli?”

Ketika Salah rebah dirempuh Ramos sambil memegang bahunya selepas hanya 25 minit permainan, disusuli langkahnya meninggalkan padang dalam linangan air mata sejurus kemudian, ramai yang dapat menyaksikan pemain-pemain Liverpool semakin hilang keyakinan.





Kemudian, dipertontonkan pula tindakan Ramos menyiku muka Loris Karius, yang membawa kepada rentetan penjaga gol itu melakukan kesilapan budak sekolah dengan menggolekkan bola untuk dipintas Karim Benzema bagi gol pendahuluan Madrid sejurus selepas rehat.

Jika insiden itu dilihat pengadil, Milorad Mazic dari Serbia, ia hampIr pasti akan mengundang kad merah terhadap pemain pertahanan Madrid itu.

Tetapi Ramos, dengan sejumlah 24 kad merah diraihnya dalam jersi Real Madrid – juga rekod tertinggi dalam LaLiga – ternyata amat licik.

Namakan apa saja – tipu-daya, permainan kotor atau gelagat samseng – Ramos memang terkenal melakukannya dengan amat sempurna.

Sesekali dia tertangkap dan terhukum, harus 20 kali lagi dia terlepas tanpa sebarang tindakan.

Harus benar bahawa Ramos telah dilayangkan kad kuning dan kad merah lebih daripada majoriti pemain lain dalam sejarah tapi ia sebenarnya suatu harga yang kecil untuk dibayarnya.

Sebaliknya, stail permainan keras atau kotor Ramos yang menjadi antara sebab Madrid telah menjuarai Liga Juara-Juara empat kali dalam tempoh lima tahun terakhir ini. Dan semua itu dilakukannya dengan nalurinya sendiri.

Tidak mungkin dia terfikir untuk merentap tangan Salah hingga bahunya terseliuh sebelum sepak mula perlawanan akhir itu.





Sebaliknya, seperti kesimpulan seorang peminat, Rob Griffiths, melalui Twitter yang menyimpulkan: “Sergio Ramos adalah jenis pemain yang akan mematikan suis mesin bantuan hayat anda hanya untuk mengecas telefon bimbitnya.”

Tanpa mengira berapa kali caci-maki terhadapnya diulang-ulang melalui Tweeter, keputusan perlawanan tidak akan berubah bahawa Real Madrid adalah juara dan Ramos yang mendahului rakan sepasukan menjulang trofi berkenaan.

Terbaru, lebih 460,000 peminat bola sepak telah menandatangani satu petisyen di atas talian yang mendesak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk menghukum Ramos atas tuduhan sengaja mencederakan Salah dan mengeluarkannya daripada permainan.

Semalam pula, seorang peguam Mesir, Bassem Wahba, dilaporkan bercadang menyaman Ramos sebanyak €1 bilion di atas permainan kotor pemain itu.

Kita seakan-akan sudah boleh membayangkan reaksi Ramos – menyeringai dan ketawa besar!

Apabila segala-galanya sudah reda nanti, kapten Madrid itu akan diingati sebagai seorang jaguh perlawanan besar dan seorang juara bersiri.

Barangkali ada benarnya simpulan bahasa bahawa orang baik-baik selalunya berakhir di pihak yang kalah.