Buat pertama kali dalam lebih satu setengah dekad, Sepanyol hilang daya tarik terbesar mereka – bekas bintang Barcelona, Lionel Messi. Sebenarnya ia kematian yang agak perlahan dengan tiga tahun sebelumnya superstar dunia Cristiano Ronaldo melengkapkan perpindahan ke Itali.

La Liga di tahun kebelakangan telah mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan populariti mereka di mata dunia. Sedar bahawa mereka tak mampu untuk hanya bergantung dengan Messi dan Ronaldo secara terus menerus, sejumlah langkah drastik diambil. Rekrut bekas bintang La Liga untuk tujuan promosi, jelajah pemasaran seluruh dunia, mengubah waktu sepakmula El Clasico dan banyak lagi.

Biarpun sedar yang mereka tidak akan mampu menyaingi fenomena Premier League, La Liga mahu jadi setidak-tidaknya ‘liga kedua’ dunia. Dengan saingan dari Itali dan Jerman semakin mendapat momentum, musim ini ia mempunyai dua cabaran yang besar. Satu, mengekalkan populariti dan kedua, untuk setidak-tidaknya menampung apa saja yang hilang itu dengan satu saingan liga yang berkelas.

Dari empat teratas, zon penyingkiran, kasut emas hingga ke bintang muda pilihan, ini adalah ramalan La Liga 2020/21!

Empat Terbaik

Atletico Madrid, Real Madrid, Barcelona, Sevilla

Musim lepas menyaksikan saingan sengit yang berlarutan ke penghujung musim dan saya menjangkakan ianya akan kekal sama musim ini. Kualiti pemain mungkin menurun saban tahun dan La Liga, jujurnya tidak mampu menyaingi kuasa kewangan Inggeris. Pun begitu, daya penarik mereka tidak pernah pudar.

Antoine Griezmann, David Alaba, Memphis Depay adalah antara senjata baru untuk ‘big 3’ Sepanyol dan setiap satu daripada mereka dijangka memberi impak terbesar bagi pasukan masing-masing. Sevilla juga tidak mengalah awal; mengekalkan Jules Kounde dan kemasukan Erik Lamela ialah percaturan yang berhasil setakat ini.

Saya melihat Real dan Barcelona mungkin akan memenangi sebahagian besar perlawanan liga mereka terutamanya saingan di tempat sendiri tetapi pada penghujungnya akan jatuh hanya tiga atau empat mata di tangan Atletico Madrid. Simeone mempunyai skuad yang cukup kuat untuk menang. Griezmann dan De Paul akan memainkan peranan amat penting dalam misi memburu kejuaraan berganda. Tempat keempat akan diisi Sevilla dengan Valencia, Villareal serta Real Sociedad akan terus menekan ke akhir musim.

Zon Penyingkiran

Elche, Real Mallorca, Rayo Vallecano

Elche dijangka berdepan cabaran sukar bertahan di La Liga setelah ‘hilang’ selama lima tahun. Begitu juga dengan Real Mallorca, biarpun kempen musim lalu cukup menarik dengan permainan bola sepak kemas memastikan penantian untuk bola sepak tertinggi sepanyol kembali ke Ramon di Carranza berakhir.

Rayo Vallecano pula amat cemerlang dalam membawa momentum di Liga Segunda musim lalu, menahan asakan Leganes dan Girona untuk naik ke La Liga. Fran Garcia ialah contoh bagi seorang pemain berkualiti yang dibawa masuk, tapi saya jangka ia belum cukup untuk Rayo keluar dari zon penyingkiran.

Kasut Emas

Karim Benzema

Sebelum saya ulas lanjut dengan pilihan saya yakni Karim Benzema, kita lihat dulu para pencabarnya. Luis Suarez, Memphis Depay, Griezmann akan mengikuti rapat dengan jumlah jaringan masing-masing walaupun bergantung kepada kestabilan dan gaya permain kelab. Barcelona mungkin menjaringkan paling banyak gol musim lalu sebagai sebuah pasukan namun ketiadaan Messi menarik sejumlah besar dari bilangan tersebut keluar.

Mengenai Benzema pula, tiada pemain di La Liga yang lebih konsisten dari beliau dalam dua tiga musim kebelakangan ini. Beliau dilihat seperti mampu menjaringkan gol dari mana saja sudut. Tak hanya itu, beliau juga mempunyai fleksibiliti dan mampu turun ke bawah untuk membantu melancarkan serangan. Tak berlebihan kalau saya nyatakan yang beliau adalah pemain harapan untuk Carlo Ancelotti musim ini.

Pemain Tumpuan
Frenkie De Jong

Sudah menjadi rahsia umum bahawa saya memang penggemar Frenkie dan saya tidak segan untuk berkata demikian. Frenkie mewakili seni yang pudar dari bola sepak. Tak ramai pemain sebijak beliau dan atas kebijakan, sikap yang baik serta daya kepimpinan yang semakin ditunjukkan, musim ketiga beliau di Barcelona ini boleh jadi yang paling penting buatnya.

Setelah datang dengan reputasi antara pemain muda terbaik dunia dari Ajax pada 2019, Frenkie menghabiskan dua musim sebelum ini sebagai salah seorang pemain terbaik Barcelona – mungkin hanya dibelakang Messi. Tak hanya gaya permainan berkualiti yang dipertontonkan; nombor yang beliau catat juga sangat meyakinkan.

51 penampilan, 7 gol dan bermain dalam 4 posisi berbeza menyatakan sendiri betapa Frenkie adalah pilihan automatik di bahagian tengah. Ketika ramai yang menganggap beliau adalah pengganti jangka panjang Sergio Busquets, saya lebih melihat beliau sebagai pemain nombor 8. Secara tak langsung, Barcelona telah berjaya menggantikan Andres Iniesta dengan seorang pemain Belanda yang lenggok badan ketika menggeleceknya itu seiras betul dengan pemain Vissel Kobe tersebut.

Pemain Muda Tumpuan
Eduardo Camavinga

Secara peribadi, saya berpendapat posisi tengah sebuah posisi yang pemainnya harus matang dua atau tiga kali lebih cepat berbanding pemain-pemain di posisi lain. Di posisi ini, perpaduan antara fokus yang tinggi, kecergasan luar biasa serta kualiti dalam pembuatan keputusan tidak akan tercapai sekiranya pemain tidak cukup matang, apa lagi bersifat kebudak-budakan.

Namun tidak bagi permata yang satu ini. Bagi saya, Camavinga datang ke Real tepat pada waktunya. Benar, Real bukanlah ‘rumah’ yang selesa untuk pemain muda bersaing. Walau dalam proses transisi dari era sebelumnya, mereka masih membariskan sejumlah bintang dunia. Namun ada sesuatu di lubuk hati saya menyatakan ini akan menjadi musim debut yang diingati untuk Camavinga.

Paling menarik perhatian saya ialah kecepatan dan kualiti pembuatan keputusan beliau. Kemampuan berfikir dalam hanya kurang dari satu saat berkali-kali di setiap babak perlawanan bukanlah perkara mudah. Tapi beliau melakukannya tanpa sebarang isyarat yang mengandungi kesalahan besar untuk seorang pemain muda. Tambahan pula dengan usia Modric dan Kroos yang menginjak tua, mungkin inilah arkitek Real untuk lapan ke sepuluh tahun akan datang.

Rumusan

Cahaya bintang yang semakin malap bagaimanapun tidak akan memberi kesan terhadap aksi La Liga musim ini. Jelas, tiada kompromi dari segi kualiti dan sekali lagi ia akan jadi satu musim yang bersimpang-siur untuk banyak pasukan. Harapan saya ialah supaya jurang ‘big 3’ ini dengan kelab pertengahan akan didekatkan lagi supaya kita mampu menikmati musim yang penuh kejutan.

Jangan lupa, saksikan saya dan Keesh ‘Mat Stats’ Sundaresan di Bola itu Life yang akan menemui anda mulai Oktober ini!