Tidak perlu saya terangkan satu persatu bagaimana sokongan yang ditunjukkan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia, terhadap atlet-atlet Paralimpik negara, yang telah berjuang di Rio, Brazil, tempoh hari. Cukup hebat, cukup memberangsangkan !

Bukan sahaja atlet yang mempamerkan aksi yang memberangsangkan di pentas Rio, tetapi kita juga tidak kurang hebatnya dalam memberi kata semangat dan sokongan yang memberangsangkan di alam maya buat mereka.
Facebook, Instagram, Twitter menjadi satu platform terbaik buat rakyat Malaysia, yang meluahkan rasa bangga kepada wira negara ini.

Terlalu banyak perkongsian gambar, perkongsian kata-kata pujian yang dihamburkan buat mereka, khususnya atlet yang telah meraih pingat di sana. Ucapan terima kasih dan syabas juga saya ucapkan kepada kalian kerana tidak putus-putus dalam memberi perhatian buat atlet LUAR BIASA ini daripada awal hinggalah ke upacara penutup.

Ini menjadi bukti kita sebagai rakyat Malaysia, tidak membeza-bezakan atlet negara tidak kira atlet para ataupun tidak. Jujur, mereka sememangnya memerlukan perhatian seperti ini kerana sedikit sebanyak inilah yang menjadi pemangkin semangat untuk mereka mempamerkan aksi hebat di temasya dunia.

Terima kasih rakyat Malaysia atas perhatian anda, dan terima kasih juga buat semua atlet Paralimpik, yang berjuang habis-habisan di sana, terutamanya Ridzuan Puzi, Ziyad Zokefli, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah Ismail, yang telah menyumbang pingat emas dan gangsa buat tanah air.

Tetapi, janganlah sokongan kita terhenti sampai di sini sahaja. Marilah kita sama-sama membuktikan sokongan dan tanda terima kasih buat mereka di alam realiti pula dengan menyambut kepulangan wira negara ini di Malaysia pada 22 September di Kompleks Bunga Raya, KLIA, jam 3 petang.

Tidak pernah saya rasakan perasaan teruja sebegini menunggu kepulangan atlet luar biasa ini di tanah air, dan ingin saya ucapkan sendiri terima kasih kepada mereka, kerana telah membuka mata rakyat Malaysia, bahawa kekurangan diri tidak menjadi penghalang untuk mengubah mimpi menjadi realiti.

Jangan berhenti berbicara kejayaan manis yang telah dikecapi mereka di media sosial, dan ayuh luangkan sedikit masa bersama-sama menunggu ketibaan wira negara pada 22 September ini.

Ayuh Malaysia!