Saya amat bertuah kerana dapat menemubual dua ikon bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal dan Safiq Rahim, dalam satu masa melalui panggilan facetime ketika dunia dilanda resah ekoran pandemik Covid-19.

Apa tidaknya, dua insan yang saya kenali dengan cukup rapat ini sebenarnya sukar untuk memberi sebarang komen terutama membabitkan isu berbangkit kerana mereka lebih senang dengan hanya cerita atas padang.

Tetapi apa yang berlaku baru-baru ini cukup istimewa buat saya. Perbualan kami menjurus kepada pengakuan terbuka Rajagobal di Twitter yang menamakan Safiq sebagai pemain terbaik yang pernah beliau miliki.

Rajagobal juga berkata Safiq adalah pemain yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk beliau ketika beraksi di atas padang sekali gus menganggap hubungannya dengan Safiq seperti seorang anak dan ayah.

Safiq ketika diminta mengulas mengakui pengakuan Rajagobal itu adalah satu penghormatan buat dirinya lalu mendedahkan bekas pengendali negara itu sebagai individu penting di sebalik pencapaiannya ketika ini.

Di bawah kendalian Rajagobal, Safiq membantu skuad bawah 23 tahun negara merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 dan disusuli dengan satu lagi kejayaan bersejarah meraih Piala AFF Suzuki pada 2010.

Perbualan kami juga menyaksikan Rajagobal mendedahkan banyak perkara mengenai Safiq seperti sejarah hubungan mereka, karakter pemain itu sendiri dan semestinya kejayaan bersama dalam Piala AFF Suzuki.

Selain itu, Rajagobal juga ada berkongsi mengenai kesusahan yang pernah pemain alami sebelum ini iaitu pemain hanya diberi elaun 15 hingga 20 ringgit sahaja sebelum dinaikkan ke 50 ringgit dan itu diakui Safiq.

Di penghujung perbualan, saya sendiri merasai betapa rindunya Rajagobal dengan anak buahnya yang dahulu berhasrat untuk mengadakan 'reunion match' membabitkan skuad 2010 dan skuad negara ketika ini.

"Kita panggil balik itu Kunanlan, suruh dia main right-back", seloroh Rajagobal kepada Safiq sebelum kami menamatkan perbualan untuk dipaparkan di kaca televisyen dalam saluran berita Nadi Arena.

Rajagobal akan mengeluarkan buku autobiografi beliau dalam masa terdekat dan semua mengenai perkara di atas dan banyak lagi akan diceritakan dengan lebih mendalam dalam buku itu nanti.