Liga Ragbi Malaysia yang kini dikenali sebagai Liga Premier Ragbi Malaysia Air Asia 2017, telah pun sampai ke aksi separuh akhir yang akan berlangsung pada 25 Mac ini.

Salah sebuah pasukan IPT (Institut Pendidikan Tinggi) yang mengambil bahagian dalam musim ini adalah pasukan Politeknik Malaysia.

Mereka diundi dalam Kumpulan A bersama Mersing Eagles, Iskandar Raiders, NS Wanderers, Serdang Angels, dan Cobra.

Kedudukan terakhir mereka dalam pasukan adalah di tangga kelima, satu anak tangga di atas pasukan Cobra.

Menerusi lima perlawanan, pasukan Politeknik mencatat dua kemenangan dan tiga kekalahan sekaligus tidak berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Namun, mereka berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukan terutamanya apabila mencatat sejarah menewaskan Serdang Angels(UPM) 19-17 di laman lawan.

Perkara itu bagi mereka adalah antara kenangan manis dan pencetus semangat buat musim akan datang kerana untuk menundukkan Serdang Angels di laman sendiri adalah aksi yang sukar.

Lebih-lebih lagi dalam dua perlawanan pertama awal musim, mereka tewas dua kali berturut-turut kepada pasukan NS Wanderers, dan Mersing Eagles.

Namun, semangat mereka tidak terhenti di situ walaupun perlawanan selepas itu juga menggugat keyakinan.

Begitupun, berbekalkan semangat sepasukan, Politeknik Malaysia berjaya mengutip mata penuh dalam perlawanan ketiga menentang Serdang Angels.

Momentum kemenangan tidak berterusan ketika bertemu Iskandar Raiders apabila mereka terpaksa akur dengan kekalahan 8-12.

Bagaimanapun, pertemuan seterusnya menentang Cobra, Politeknk mencatat kemenangan 15-10.

Prestasi tidak konsisten ini mungkin disebabkan ramai muka baharu dan pemain muda yang diterapkan dalam pasukan. Namun, pemain-pemain senior dan bantuan pemain import dari Fiji banyak membimbing pemain muda di dalam pasukan.

Menurut ketua jurulatih Mohd Shafie Osman, ini antara cabaran kami kerana pemain-pemain kami terdiri dari pelajar-pelajar institusi yang perlu kami kumpulkan menjadi satu pasukan. Namun saya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dan berharap mempunyai lebih banyak masa untuk melatih mereka sebagai satu pasukan.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik, Lt Kol Bersekutu Pertahanan Awam, Haji Mohamad Amin Hayat, pula berkata, dengan penglibatan aktif pihak politeknik dalam sukan dan pembangunan ragbi ini, diharapkan lebih ramai pihak membuka mata dan menghulurkan bantuan juga sokongan kepada Pasukan Ragbi Politeknik Malaysia.