Umum mengetahui November adalah bulan paling sibuk buat mana-mana pemain dan jurulatih membuka tawaran, khidmat mahupun persefahaman kontrak baru mereka bagi persiapan pasukan musim depan.

Pelbagai ragam sudah mula kedengaran.

" Buat apa saya tunggu lagi, bila saya sudah mula rasa tidak seronok buat kerja." Lain benar nada bekas jurulatih Kedah Trebel ini.

" Seolah-olah tiada hak untuk saya pilih pemain, jika mereka gagal menyerlah, tetap saya yang akan bertanggungjawab di kemudian hari. Saya tidak boleh terima situasi ini." Itu tegas Azraai Khor Abdullah.

Yang nyata jodoh Azraai bertahan selama sebulan sahaja bersama Sabah, ekoran tiada persefahaman, tarik diri jadi penyelesaian Azraai.

Azraai sekali lagi tiada pasukan.

Cukup untuk membuatkan anak jati Kedah itu terkilan selepas kegagalan beliau menamatkan saingan dengan sesuatu yang manis ketika bersama T-Team, Negeri Sembilan, mahupun Kelantan.

Seterusnya ada juga bisik-bisik yang nampaknya kurang senang dengan usaha bekas jurulatih negara Dollah Salleh kembali mencari tempat dalam saingan liga.

" Rehat rehat la dulu Dollah, bagi orang lupa dulu kegagalan dia bersama skuad negara."

" Dia nak cari apa ? Kalau saya, saya pilih untuk rehat dulu."

Itu antara omong yang tampak kurang senang dengan usaha bekas jurulatih negara itu untuk kembali membuat penampilan dalam saingan liga.

Khabarnya Singa Utara bakal dibimbing Dollah sebagai usaha untuk menaikkan semula Perlis pada tahap yang pernah mereka capai sebelum ini.

Jika benar selamat maju jaya buat Dollah dan semoga beroleh kejayaan bersama Perlis.

Dalam pada itu, ketika Felda United sudah memastikan slot suku akhir Piala Malaysia musim ini, itu tidak menghalang perancangan pengurusan The Fighters dan jurulatihnya Irfan Bakti mencari import baru.

Tidak mahu menggunakan khidmat agen, Irfan terbang sendiri ke negara yang cukup dikenali dengan sambanya, Brazil.

" Kenapa perlu bersusah payah sehingga ke Brazil sedangkan kalau mahu khidmat pemain dari negara itu kenapa tidak sahaja Felda United uji Paolo Rangel yang kebetulan tiada pasukan ketika ini?"

Irfan menjawab mudah sambil di sulami reaksi yang cukup bersahaja

" Tidak. Dia terlalu banyak tatoo." ujar Irfan cukup sinis.

Itu antara situasi yang sering mewarnai wajah liga kita menjelang hujung musim. Skrip hampir sama hanya pengolahan situasi membuatkan ia sering tampil sebagai isu isu baru dan terkini.

Hakikatnya terlalu awal untuk mengucapkan sayonara musim 2015 ketika ambang liga malaysia 2016 sudah mula mengetuk pintu.