Di Itali, terdapat resipi piza tradisional yang 'biasa-biasa' sahaja, namun cukup digemari khususnya golongan pertengahan.

Piza quattro formaggi merupakan piza ringkas yang menggabungkan empat jenis keju terdiri daripada Mozzarella, Parmesan, Gorgonzola dan keju susu kambing.

Gabungan empat keju itu hanya perlu ditambah puri tomato dan garam, namun sudah cukup untuk menjadi piza kegemaran ramai di negara berkenaan.

Di Perancis pula, lahir seorang pelumba muda yang kian mengejutkan dunia permotoran menerusi aksi cemerlangnnya di atas litar.

Fabio Quartararo menyertai pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT) bukanlah dengan reputasi sebesar pelumba-pelumba lain, namun dia membuktikan kecemerlangannya dengan deretan kejutan yang dilakukan dalam penampilan pertamanya musim ini.

Sebelum menyertai kelas perdana, MotoGP, pelumba berusia 20 tahun itu hanya sekali memanjat podium, iaitu dalam perlumbaan Grand Prix Catalan, Moto2 musim lalu.

Jika diikutkan, reputasi itu jauh lebih kecil berbanding tiga muka baru yang lain, iaitu Joan Mir (Suzuki ECSTAR), Miguel Oliveira (Red Bull KTM Tech3) dan Francesco Bagnaia (Alma Pramac Racing).

Mir merupakan juara keseluruhan Moto3 musim 2017 selain telah menghimpunkan 11 kejuaraan secara keseluruhan.

Oliveira pula pernah menjadi naib juara keseluruhan Moto3 musim 2015, tempat ketiga keseluruhan musim 2017 dan naib juara keseluruhan Moto2 musim lalu.

Paling mempunyai reputasi besar ialah Bagnaia yang merupakan juara keseluruhan Moto2 pada 2018.

Namun, berbekalkan satu kejuaraan kecil itulah, Quartararo memikat hati Petronas SRT untuk menunggang jentera pasukan itu dalam kelas perdana pertamanya musim ini.

Nyata keputusan itu memberikan pulangan lumayan buat pasukan berkenaan apabila Quartararo kini menduduki tangga ketujuh keseluruhan dengan 51 mata, jauh meninggalkan muka-muka baru yang lain -- Mir ke-14 (22 mata), Oliveira ke-18 (12 mata) dan Bagnaia ke-20 (sembilan mata).

Seperti quattro formaggi, kekuatan Quartararo datangnya daripada empat faktor utama, iaitu usia yang muda, kemahiran tunggangan tinggi, keyakinan untuk bersaing dengan pelumba senior dan penyesuaian ke atas jentera dalam masa singkat.

Dengan keempat-empat kekuatan itu, dia mula membuka mata dunia apabila meraih petak utama dalam GP Sepanyol, 5 Mei lalu.

Malangnya, jenteranya rosak dalam perlumbaan sebenar sehingga memaksa pelumba muda itu bercucuran air mata gara-gara tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Namun, ia tidak terhenti di situ.

Quartararo sekali lagi mencetus rasa cinta peminat sukan permotoran dunia apabila meraih pencapaian sama dalam GP Catalan, 16 Jun lalu.

Lebih manis, kejayaan itu ditamatkan dengan podium pertamanya dalam kelas perdana selepas meraih tangga kedua di belakang pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Malam semalam, dia sekali lagi menempah petak utama dalam GP Belanda, sekali gus di landasan tepat untuk mencipta satu lagi kejutan dalam perlumbaan sebenar malam ini.

Tiga petak utama itu bukanlah kejayaan biasa memandangkan hanya dua pelumba lain pernah memulakan perlumbaan di petak berkenaan, iaitu pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales (sekali) dan Marquez (empat kali).

Ia menjadi bukti bahawa tanpa reputasi besar, seseorang pelumba itu masih mampu untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Seperti quattro formaggi yang merupakan piza 'biasa-biasa', Quartararo juga merupakan pelumba 'biasa-biasa' yang kini amat diminati peminat sukan permotoran di seluruh dunia.