Sekilas pandang Viktor Axelsen tidak ubah seperti gambaran seorang putera raja yang menghiasi nukilan hikayat.

Tegap, tampan dan memiliki keistimewaan tersendiri sama ada ketika menawan hati marhaen atau menakluk dunia.

Empayar badminton dunia sudah sekian lama menyaksikan dua raja, Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei memerintah dengan menampilkan aksi yang akan dikenang sepanjang zaman.

Ogos 2017, Axelsen memulakan pengukuhan status sebagai pencabar kepada takhta dua ikon ini dengan merampas gelaran sebagai juara dunia menewaskan juara lima kali, Lin Dan di pentas final.

September 2017, perseorangan dari Odense ini bukan sahaja menundukkan Chong Wei dalam penentuan gelaran Siri Super Terbuka Jepun,malah dia akhirnya berupaya berdiri angkuh sebagai No 1 Dunia.

Dalam pandangan tanpa prejudis saya, Lin Dan adalah "Legenda Sepanjang Zaman" Sementara Chong Wei saya sifatkan sebagai "Raja Siri Super".

Mengapa? Lin Dan adalah satu-satunya perseorangan yang memiliki lima gelaran juara dunia dan dua emas olimpik.

Chong Wei pula selain 45 gelaran Siri Super keseluruhan menamatkan musim 2008 sehingga 2013 sebagai no 1 dunia.

Itu tidak termasuk rekod 298 minggu sebagai terbaik dunia daripada musim 2009 sehingga 2014.

Sehingga Axelsen berupaya untuk mengatasi pencapaian daripada dua veteran itu, sehingga itulah dia hanya akan dianggap sebagai pencabar.

Usia memihak Axelsen, adakah dia hanya akan dikenang sebagai Putera Raja atau satu hari merampas mahkota Maharaja Badminton Dunia.