Kerancakan perebutan dua tempat teratas dalam saingan Liga Perdana musim ini begitu sengit ketika ini.

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur betul-betul mengambil kesempatan di atas peluang yang dibuka oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila merubah format pertandingan musim ini dengan memendekkan saingan Liga Perdana yang hanya berjalan dengan satu pusingan berbanding musim-musim sebelum ini.

Saingan liga dijalankan secara timbal balik tetapi disebabkan pandemik COVID-19 format dan jadual perlawanan terpaksa diubah MFL. Lihat sahaja bagaimana dua pasukan itu berjaya mencipta dua kemenangan berturut-berturut setelah liga bersambung dua minggu lalu.




Itu menunjukkan kedua-dua pasukan begitu serius dalam merebut dua slot yang diberikan MFL untuk layak ke Liga Super musim hadapan. Lihat sahaja bagaimana kedua-dua pasukan itu mempersiapkan pasukan pada awal musim dengan membawa pemain-pemain yang berkualiti seperti Kuala Lumpur membawa masuk pemain pertahanan berpengalaman iaitu Shukor Adan untuk memperkukuhkan benteng pertahanan dan Pulau Pinang pula membawa penyerang import, Casagrande, yang sebelum ini dipinjamkan daripada Melaka pada musim lalu, bagi terus mempertajamkan penyudah Pulau Pinang dmei mencapai matlamat dan misi pasukan.

Kehadiran kedua-kedua pemain ini di dalam pasukan masing-masing memberi impak yang sangat baik.

Dengan prestasi terkini kedua-kedua pasukan itu agak sukar digugat oleh mana-mana pasukan yang bersaing untuk merebut dua slot ke Liga Super musim hadapan memandangkan pasukan-pasukan kedudukan ketiga hingga ke lima adalah merupakan pasukan “feeder team” kepada pasukan Liga Super dan pasukan-pasukan ini tidak layak untuk ke Liga Super sekiranya pasukan itu menjadi juara.




Lantas pasukan-pasukan seperti Kelantan United dan Kelantan memang sukar untuk mengganggu gugat kedudukan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur memandangkan jurang perbezaan mata agak jauh dan hanya tinggal lagi lima perlawanan yang perlu diharungi oleh setiap pasukan sebelum tamat saingan Liga Perdana.

Inilah yang dikatakan bijak dalam mencuri ruang apabila kesempatan diberikan, belum tentu bagi kedua-dua pasukan itu dapat mengekalkan momentumnya pada setiap perlawanan sekiranya liga berjalan mengikut format yang sedia ada sebagaimana MFL amalkan dalam Liga Malaysia.

Bagi pasukan Kelantan dan Kelantan United, jangan berputus asa tunjukanlah komitmen dan kualiti pasukan pada setiap perlawanan kerana dalam bola sepak ini sebarang kemungkinan boleh terjadi dan sementara bagi pasukan-pasukan lain juga sama supaya kualiti Liga Perdana itu terus kekal segar dan bernyawa walaupun hanya dua pasukan iaitu Pulau Pinang atau Kuala Lumpur pilihan juara Liga Perdana?.