Usaha Manchester City memburu penyerang utama merangkap kapten pasukan kebangsaan England, Harry Kane, sepanjang jendela perpindahan musim ini, menemui jalan buntu.

Ia gara-gara halangan keras pengerusi kelab Tottenham, Daniel Levy, yang bukan sahaja menidakkan sebarang tawaran The Citizens, malah tidak henti-henti berusaha memujuk Kane agar kekal.





"Saya akan kekal dengan Tottenham musim ini dan akan fokus 100 peratus untuk membantu pasukan mengecap kejayaan," ciapan di halaman Twitter Kane petang semalam menidakkan segala ura-ura yang tidak henti-henti disiarkan sejak lebih sebulan lalu berkait dengan perpindahannya.

Setelah keberangkatan Sergio Aguero ke Barcelona musim ini, City sememangnya memerlukan seorang penyerang baru bagi memantapkan lagi barisan serangan mereka yang bertonggak tiga.

Menurut laman sesawang Gianlucadimarzio.com, City sedia untuk menawarkan Cristiano Ronaldo kontrak selama dua tahun dengan gaji setinggi €230,000 (RM1.1 juta) seminggu, tetapi mereka tidak mahu membayar walau satu sen pun daripada segi yuran perpindahan.

Juventus telah membeli Ronaldo daripada Real Madrid dengan harga setinggi €100 juta (RM49.3 juta), tetapi selepas tiga tahun tanpa sebarang trofi berprestij berjaya dimenangi, mahukah mereka melepaskan Ronaldo secara percuma?

Tidakkah itu seumpama mencampakkan yuran perpindahan tersebut ke dalam longkang?

Menurut laporan akhbar The Mirror semalam, bekas pengerusi Juventus, Giovanni Cobolli Gigli menggesa agar kelab itu memperbetulkan kesilapan membeli Ronaldo dengan menjualnya pada kadar segera.

"Sejujurnya, membeli Ronaldo adalah satu kesilapan.

"Sekarang ini mustahil Juventus boleh meraih semula wang yang telah dilaburkan, jadi biarlah ia kekal begitu sahaja.

"Ronaldo adalah seorang pemain yang hebat, tetapi lebih cepat dia beredar, lebih baik untuk Juventus dan juga untuk dirinya sendiri.

"Ronaldo hanya mengekang serangan Juventus ketika ini. Tanpa dia, Juventus boleh mengecapi lebih banyak kejayaan secara keseluruhan," katanya lagi.





Pedas sekali kritikan yang dilemparkan ke arah salah seorang pemain terbaik dunia, tetapi berita yang tersebar sejak minggu lalu -- Ronaldo dilaporkan enggan diturunkan dalam kesebelasan utama sewaktu Juventus menentang Udinese -- mengukuhkan lagi ura-ura serta tanggapan bahawa Ronaldo sudah tidak lagi bahagia di Turin.

Pilihan Ronaldo sendiri adalah terhad jika benar dia ingin berpindah.

Biarpun ada ura-ura PSG berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi membentuk barisan serangan impian dengan menyatukannya bersama Lionel Messi dan Neymar, ia tidaklah kukuh dan hanya berkemungkinan terjadi jika PSG sah kehilangan Kylian Mbappe.

Bekas kelabnya, Real Madrid, pula bakal menumpukan segala sumber kewangan mereka dalam usaha mendapatkan tandatangan Mbappe.

Hanya Manchester City merupakan pilihan yang logik pada saat ini. Tarikh akhir jendela perpindahan cuma berbaki lima hari lagi dan kita pastinya bakal menyaksikan episod lebih lanjut tentang pemain legenda ini.

Namun, di sebalik segala kehendak City dan Ronaldo, apa yang pasti adalah hati penyokong Manchester United akan berkecai jika benar Ronaldo menyarung jersi biru langit seteru ketat mereka itu.

Ronaldo berkembang menjadi siapa dirinya ketika ini atas jasa United dan Sir Alex Ferguson yang membimbing dirinya dan memberikan dia peluang untuk beraksi di kancah terbesar.

Imej Ronaldo meraih dan meraikan sebarang kemenangan bersama City tidak mungkin boleh ditelan dengan mudah oleh peminat tegar The Red Devils.

Namun, inilah hakikat dunia bola sepak, di mana memori manis mampu lesap dalam seimbas masa sahaja, seperti mana yang berlaku kepada Lionel Messi beberapa minggu lalu.

Kita nantikan langkah Ronaldo seterusnya.