Perjuangan hingga ke siren penamat, akhirnya Malaysia tewas, 1-2 kepada India pada final Piala Asia 2017.

Pemain nampak kecewa terlepas peluang keemasan cipta sejarah menjulang Piala Asia kerana sejak edisi pertama 1982, inilah kali pertama Malaysia layak ke final.

Tetapi mereka sudah mencuba yang terbaik dan menamatkan musim 2017 dengan gemilang.

Layak ke Piala Dunia 2018, mempertahankan pingat emas Sukan Sea dan naib juara Piala Asia.

Lebih menarik penyerang negara, Faizal Saari dinobat Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaring Gol Terbanyak, berkongsi tujuh gol bersama pakar pukulan sudut penalti India, Harmanpreet Singh - masih adakah yang mahu mengkritik mereka?

“Terbaik hoki Malaysia. Sentiasa banggakan negara,” kata peminat di laman facebook.

“Sukan paling berjaya di Malaysia, 1. basikal 2. hoki 3. bola sepak,” ulas seorang lagi.

Ada juga yang mencadangkan pengendali negara, Stephen van Huizen diberi pangkat ‘Datuk’ atas sumbangan bantu Malaysia raih kejayaan gemilang. Beliau juga jurulatih terakhir yang membawa Malaysia ke Sukan Olimpik (Sydney 2000).

Ia situasi tipikal dalam arena sukan negara namun, sememangnya ada yang layak menerimanya.

Berbalik kepada skuad negara, saya percaya kapten, Sukri Mutalib dan rakan-rakan akan pulang ke tanah air dengan rasa puas.

Mereka tidak mengharapkan sambutan wira yang gah, cukup dengan pelukan ahli keluarga.

Pemain tengah, Fitri Saari mahu mendakap anaknya, Adam Zafran yang sudah dibenarkan keluar hospital, S Kumar (penjaga gol) akan meraikan Deepavali walaupun lewat seminggu, Muhammad Razie Abd Rahim (pertahanan) rindukan isteri dan anak perempuan selaku penyokong kuat, begitu juga dengan pemain lain.

Pulanglah dengan bangga Malaysian Tigers, pasukan kedua terbaik Asia!