Sorakan penuh bangga harus diberikan kepada skuad bola sepak bawah 19 tahun kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 2018 setelah mencatatkan tiga kemenangan dan satu kekalahan dalam aksi kumpulan F di Paju, Korea Selatan pada awal November.

Diundi bersama pasukan Timor Leste, Brunei, Indonesia, dan Korea Selatan, skuad kebangsaan ketika ditanya sememangnya sudah menjangkakan aksi sukar ketika turun menentang juara 14 kali, Korea Selatan.

Dan jangkaan itu tepat sekali kerana itu merupakan kekalahan tunggal pasukan negara yang menyaksikan keputusan 0-3.

Namun, sebelum pertembungan dengan Korea Selatan, satu lagi perlawanan sengit dijangkakan ketika menentang Indonesia dan ramai berpendapat keputusan mungkin menyebelahi Indonesia atau sekadar seri.

Begitupun, skuad bawah 19 negara membuktikan bahawa mereka ada pendapat yang berbeza apabila menjelmakan keputusan membanggakan dengan catatan kemenangan 4-1 ke atas pasukan Indonesia.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu diundi dalam balang bersama Taiwan, Korea Utara dan Jordan. Mereka akan beraksi dalam pusingan akhir Kejohanan AFC 2018 bermula pada sekitar Oktober 2018 di Indonesia yang melibatkan beberapa daerah, iaitu Jakarta, Bandung, Bekasi, Cibinong dan Cikarang.

Ini merupakan peluang terbaik buat skuad muda ini kerana jika mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik, secara automatik mereka berpeluang ke aksi Piala Dunia B-20 pada 2019 bagi mewakili Asia yang akan berlangsung sama ada di India, Kenya atau Poland.