Kompleks Latihan Majlis Sukan Negara (MSN) di Taman Keramat, Kuala Lumpur, sah tidak akan lagi beroperasi bermula tahun depan.

Ia bermakna, atlet daripada sukan tinju, sepak takraw, petanque dan memanah akan dipindahkan secara berperingkat ke pusat latihan lain.

Atlet tinju misalnya akan berpusat di Nilai, Negeri Sembilan -- bersebelahan dengan Velodorom Nasional -- bermula bulan depan.

Perkara itu disambut baik Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkifli, walaupun terdapat usaha untuk membaik pulih gelanggang lama di Taman Keramat sebelum ini.

"Pusat latihan di Keramat, jika tidak salah saya sudah (berusia) lebih 20 tahun, merupakan satu tempat yang amat bersejarah buat atlet tinju Malaysia dan telah melahirkan bintang-bintang tinju yang pernah menang pingat dalam Sukan SEA," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Tempat (latihan) yang baru ini, suasanya amat baik, keadaannya tenang dan tempatnya cukup selesa.

"Daripada segi tempat latihan, tempat tinggal, ia dibuat baru dan suasananya amat baru, jadi kami berharap atlet kami akan berasa selesa di sana tanpa sebarang gangguan.

"Kerana jika di Keramat, ia dikira di tengah bandar tetapi di Nilai, ia dikira pinggir bandar," katanya.