SERONOK melihat perangai rakan-rakan setugas Astro Arena di temasya Olimpik di Rio de Janeiro, khususnya Akbar Sahari, meraikan kejayaan pingat perak Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama, awal 10 Ogos.

Jika Pandelela mengutip pingat gangsa 10m platform individu pada edisi di London pada 2012, pingat perak yang juga pingat pertama warna itu yang bersumberkan disiplin selain badminton, memakan proses yang lama.

Pandelela, bintang terjun negara yang dikenali ramai selepas mengutip gangsa pada 2012, kesudahan kepada pengorbanannya sejak bergiat dalam acara terjun pada usia 8 tahun.

Bakatnya dikesan di Kuching di saat skuad terjun negara menyapu bersih lapan pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA 2001 hasil program Gemilang 2001 cetusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang diterajui Datuk Wira Mazlan Ahmad.

Jun Hoong pula menebus kecewa selepas kesilapannya meleburkan harapan mengutip pingat ketika berganding bahu dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal seirama.

Proses yang membawa Pandelela dan Jun Hoong ke arah perak di Rio sebenarnya berputik seawal 1992 apabila MSN meletakkan jurulatih pakar China, Liu Jin Rong, yang dibayar gajinya oleh sebuah syarikat pengeluar minuman, untuk mengenal pasti bakat buat Persatuan Renang Kuala Lumpur.

Daripada 50 penerjun yang dikenal pasti, Yeoh Ken Nee dan Farah Begum Abdullah menonjol.

Kemudian program Jaya’98 dilancarkan pada 1993 dan pada 1997, akhirnya dua jurulatih yang ditagih khidmatnya, Liu Tze Men dan Ren Shaofen, menjejakkan kaki mereka ke Kuala Lumpur untuk menggilap bakat 12 penerjun.

Tanpa adanya Ken Nee, Farah, Leong Mun Yee, Rossharisham Roslan, Azheem Bahari, Syed Abdul Samad Syed Abbas dan Wan Nor Sapiah, tiadalah Bryan Nickson Lomas, Pandelela, Jun Hoong dan Dhabitah.

Anjakan paradigma daripada MSN turut mengalih tumpuan acara lumba basikal lebuh raya kepada trek, menembak skeet dan trap kepada disiplin ISSF, menghidupkan semula memanah dan sukan angkat berat serta pembinaan lebih banyak kemudahan gimnasium dan tempat pertandingan untuk acara terjun.

Ketua jurulatih terjun, Yang Zhuliang, pula pernah membawa diri ke Australia pada lewat 2005 apabila ditawarkan taraf penduduk tetap tetapi kembali menyumbang kudrat untuk kontinjen negara.

Sejak 2001, antara buah tangan Zhuliang ialah pingat gangsa Ken Nee-Rossharisham dan Farah-Mun Yee di Sukan Asia Busan 2002 dan kejayaan Bryan muncul juara remaja dunia dalam acara 3m papan anjal di Belem, Brazil pada 2004 selain mengesahkan kemaraan Bryan, Mun Yee dan Gracie Junita Terry Pega ke Sukan Olimpik di Athens.

Jadi, di saat kita meraikan kalungan pingat perak ke leher Pandelela dan Jun Hoong, usah lupa perahan otak dan pelaksanaan idea daripada pentadbir, pengurus atau jurulatih yang membawa kejayaan di Rio.

Oh satu lagi, tahukah anda di saat Pandelela-Jun Hoong melakukan rutin mereka, Shaofen yang membimbing juara Olimpik, Wu Minxia dan Chen Ruolin, turut berada di Pusat Akuatik Maria Lenk?