Selepas kegagalan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelmakan aksi ampuh dalam saingan pusingan kedua kelayakan PialaDunia 2022/ Piala Asia 2023, kelibat pemain naturalisasi mula dipersoalkan netizen dan peminat bola sepak tempatan.

Aksi dua pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi di saingan kelayakan Kumpulan G yang berlangsung di Dubai baru-baru ini jelas menimbulkan rasa tidak puas hati ramai.

Mana tidaknya, apabila aksi dipamerkan dua pemain itu dilihat ramai sebagai hanya setahap pemain tempatan dalam skuad negara.

Kedua-dua pemain itu mungkin sudah meraih beberapa kejuaraan dalam saingan Liga M, namun apabila diberi kerakyatan dan menyarung jersi keramat negara, tidak banyak yang mampu disumbangkan mereka.

Secara peribadi, penulis berasa sangsi dengan kelibat dua pemain itu untuk skuad negara sebaik FAM mengumumkan mereka berdua sebagai pemain naturalisasi terbaru negara.

Penulis bukan menentang pengambilan pemain naturalisasi namun, FAM wajar menetapkan piawaian tinggi sebelum mengambil mana-mana awang import di Liga M sebagai pemain naturalisasi.

Umur, corak permainan sama ada sesuai atau tidak dengan taktikal Cheng Hoe dan keikhlasan seseorang pemain itu untuk mewakili Malaysia adalah faktor yang perlu dijadikan keutamaan FAM dalam memilih calon pemain naturalisasi negara.

Sebelum ini, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama negara dan tiada isu dengan kemasukan pemain kelahiran Gambia itu apabila dia beraksi cermelang dalam aksi awal kelayakan Kumpulan G pada 2019.

Tetapi di Dubai, Sumareh turut beraksi di bawah tahap terbaiknya dan ia membuatkan peminat, pemerhati dan netizen mula mempersoalkan kelibat pemain naturalisasi.

Berdasarkan aksi yang dijelmakan de Paula dan Liridon di Dubai, penulis berharap sangat kelibat mereka tidak digunakan untuk saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia November depan dan juga Piala Suzuki AFF pada Disember.

Mungkin lebih baik FAM mencari pemain berdarah campuran di luar negara yang beraksi di posisi serangan dan mempunyai rekod pencapaian seperti Dion Cools yang bermain di peringkat elit di Eropah.

Pada masa sama, kelibat pemain tempatan yang menyinar di saingan Liga Super seperti Hakimi Abdullah ( Terengganu FC) dan Al Hafiz Harun (Penang FC) turut diberi peluang.

Pengambilan pemain naturalisasi seharusnya memberi impak positif buat pasukan negara dan bukan sekadar menjadi bahan jenaka peminat negara jiran.

Lihat saja UAE, kelibat pemain naturalisasi mereka Fabio Lima jelas memainkan watak penting buat skuad kendalian Bert van Marjwijk itu menjuarai Kumpulan G.

Meskipun aksi de Paula dan Liridon mengecewakan ketika tugasan di Dubai, kelibat pemain berdarah campuran terbaru negara, Cools boleh dianggap baik.

Walaupun tidak beraksi di posisi asalnya selaku bek kanan, Cools yang beraksi bersama kelab Denmark, FC Midtjylland di saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetap tenang selaku bek tengah Harimau Malaya.

Penulis berharap dengan kembalinya Shahrul Saad ke skuad negara selepas ini, Cheng Hoe boleh menimbang kemungkinan buat Cools beraksi sebagai pemain tengah bertahan (number six).

Ia kerana Cools tampak memiliki kemampuan membuat hantaran jauh yang tepat ketika beraksi di benteng dan mungkin, dia boleh diberi kepercayaan beraksi di posisi yang lebih berpengaruh dalam pasukan.

Apa pun, penulis sekadar melontarkan padangan penulis sebagai seorang pengamal media yang pernah membuat liputan skuad negara di lima edisi Piala Suzuki AFF, satu edisi Piala Asia dan juga final Piala AFC membabitkan kelab Johor Darul Takzim.

Ia terserah kepada pucuk pimpinan FAM untuk memberi kata putus sama ada untuk terus menggunakan kelibat de Paula dan Liridon atau ada lagi pemain lain yang akan dijadikan pemain naturalisasi selepas ini.