Sejak memenangi anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 dalam kategori akar umbi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menoleh ke belakang lagi dengan malaksanakan pelbagai program akar umbi bersama khalayak terbanyak.

Ini satu inisiatif yang baik dilakukan oleh FAM dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan keseronokan dalam bermain bola sepak .

Bukan itu sahaja, dalam suku pertama Pelan Hala Tuju FAM (2019-2022), FAM juga ada menyatakan akan menggerakan aktiviti-aktiviti program pembangunan akar umbi bagi tujuan untuk memajukan bola sepak di Malaysia.

Namun, ia bukan tugas yang mudah, sebaliknya memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh daripada pemegang taruh, antaranya persatuan, pemain, penaja dan penyokong.

Untuk memastikan matlamat itu berjaya, FAM perlu menyampaikan dan menerangkan kepada pemegang taruh -- tidak kiralah di peringkat komuniti atau sebaliknya -- baik dalam mendapatkan pandangan atau memberi pandangan kepada masyarakat bola sepak di Malaysia khususnya.

Sayangnya, barangkali ada segelintir yang bertanggugjawab dalam FAM untuk melaksanakan program akar umbi badan induk itu tidak mahu berkongsi dengan masyarakat bola sepak di peringkat akar umbi secara keseluruhan.

Sebaliknya, hanya berkongsi dengan orang di sekelilingnya sahaja. Bukan hanya sekali tetapi sudah beberapa kali perkara ini dikhutiri dilakukan.

Harapan kita agar janganlah wujudkan program ibarat syok sendiri untuk menang anugerah semata-mata, sebaliknya pencapaian keseluruhan sesuatu matlamat itulah yang harus lebih diutamakan.

Ini satu gejala negatif yang perlu diberi perhatian khusus oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, sebagai orang yang bertanggungjawab dalam urus tadbir FAM supaya ia tidak disalahertikan oleh masyarakat bola sepak Malaysia.

Lebih-lebih lagi, Pelan Hala Tuju F:30 suku pertama (2019-2022) ada menyatakan FAM akan mengubah minda masyarakat bola sepak Malaysia secara menyeluruh dan bukan hanya bermanfaat kepada segelintir.

Kita yakin dan percaya bahawa sesuatu program yang berniat murni, jika dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, lambat laun akan memberi pulangan juga.