Acara WWE Elimination edisi 2018 tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bakal dipancarkan secara langsung pada Isnin 26 Februari ini melalui rangkaian WWE Network saluran 820 / 840 (HD), ia pasti menjadi sebuah acara yang bakal mencorak sejarahnya yang tersendiri.

Empat perlawanan utama telah dimuktamadkan dan berikut disenaraikan perlawanan yang bakal disajikan:

1. “Woken” Matt Hardy lawan Bray Wyatt

Setelah berminggu-minggu WWE Universe melihat kedua-dua bintang “pelik” ini saling berbalas promo di siaran Raw, mereka akhirnya akan dipertemukan untuk membuktikan kebenaran masing-masing. Bray menuduh Matt seorang penipu, begitu juga sebaliknya. Perlawanan ini juga akan memberi peluang kepada Matt untuk menebus semula aib ketika acara sambutan Raw ke 25 tahun bulan lalu, setelah beliau tewas bersih kepada Wyatt. Mampukah Matt Hardy bangkit? Atau Wyatt akan mengebumikan terus karier bekas Juara Regu WWE tersebut?

2. Asuka lawan Nia Jax

Dominasi Asuka sejak menyertai roster utama Raw Oktober lalu seakan tiada hentinya. Kemenangan demi kemenangan dikecapi membuatkan gadis kelahiran Osaka, Jepun ini tidak terkalah malah mencipta sejarah sebagai pemenang pertama perlawanan Royal Rumble wanita hujung bulan lalu. Namun cabaran getir menanti. Nia Jax bakal menjadi batu penghalang untuk Asuka selesa ke Wrestlemania. Bukan sahaja Nia berpeluang untuk meleburkan rekod tanpa kalah Asuka, malah jika Nia beroleh kemenangan, beliau akan dimasukkan sebagai peserta ketiga dalam perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw, seterusnya menjadikan ia sebagai perlawanan tiga penjuru di Wrestlemania kelak.

3. Perlawanan Elimination Chamber wanita pertama dalam sejarah: Juara Wanita Raw Alexa Bliss lawan Bayley lawan Sasha Banks lawan Sonya Deville lawan Mandy Rose lawan Mickie James

Revolusi gusti wanita terus berkembang. Setelah perlawanan Hell In A Cell, TLC dan Money In The Bank, kini giliran Elimination Chamber pula menjadi wadah ujian ketahanan para bintang wanita Raw untuk setara dengan penggusti lelaki. Alexa Bliss yang berehat ketika acara Royal Rumble bulan lalu terpaksa menelan hakikat pahit bahawa kejuaraan yang disandangnya bakal terlepas. Ini kerana Kejuaraan Wanita Raw menjadi taruhan di mana pemenang perlawanan ini kelak akan dinobatkan sebagai juara dan akan mara untuk mempertandingkan kejuaraan tersebut di acara Wrestlemania pada April.

Dengan ketiadaan Nia Jax untuk menjadi “polisi insuran” kepada Bliss, mampukah gadis genit ini bertahan? Dengan dua anggota Absolution (Sonya dan Rose) yang juga turut serta, mereka pasti akan memberi tentangan sengit. Tanpa menafikan cabaran yang akan diberikan oleh bintang wanita lain seperti Mickie, Sasha dan Bayley.

4. Perlawanan Elimination Chamber lelaki: Juara Antara Benua The Miz lawan Seth Rollins lawan Roman Reigns lawan John Cena lawan Braun Strowman lawan Elias lawan Finn Balor

Pertama kali dalam sejarah Elimination Chamber sejak ia diperkenalkan pada tahun 2002, tujuh bintang akan bersaing kali ini berbanding hanya enam dalam siri perlawanan sebelum ini. Menurut sumber, tidak akan berlaku sebarang perubahan kepada struktur sangkar Elimination Chamber ini kelak bagi memuatkan ketujuh-tujuh penggusti. Empat orang bintang akan tetap dimuatkan dalam ruang kaca di setiap penjuru gelanggang, dan tiga orang bintang akan memulakan perlawanan.

Setakat ini, nama The Miz telah disahkan akan menjadi peserta pertama dan akan memulakan perlawanan. Manakala Elias yang telah menewaskan John Cena dan Braun Strowman dalam perlawanan tiga penjuru di siaran Raw minggu lalu, telah menempah tempat paling eksklusif iaitu sebagai peserta terakhir.

Siapakah yang akan menjadi pemenang seterusnya berpeluang ke Wrestlemania dan mengikat janji temu dengan Brock Lesnar bagi merebut Kejuaraan Universal? Secara atas kertasnya, nama Roman Reigns dilihat menjadi peserta pilihan untuk menjadi pemenang. Namun di dalam sangkar yang tidak mengenal belas kasihan ini, segalanya boleh berlaku dan tidak mustahil kejutan akan tercipta.



Selain empat perlawanan di atas, acara Elimination Chamber juga akan menampilkan bintang mega Ronda Rousey. Bekas Juara Bantamweight Wanita UFC ini akan menandatangani kontrak rasmi untuk menjadi sebahagian daripada divisyen wanita Raw secara sepenuh masa.

(Foto: WWE.com)

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan acara Elimination Chamber secara langsung bermula jam 8.00 pagi Isnin (26 Februari 2018) di rangkaian WWE Network saluran 820 / 840 (HD). Layari www.astro.com.my atau pergi ke saluran 200 untuk melanggan.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.