Tanggal 1 Mac 2020 pasti antara tarikh yang akan diingati oleh Azizulhasni Awang apabila meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman.

Dalam aksi penentuan pingat gangsa, Azizul menewaskan pelumba Poland, Mateusz Rudyk, 2-0.

Kejayaan itu menyaksikan Azizul meraih dua gangsa selepas turut menduduki tempat ketiga dalam acara kegemarannya, keirin.

Walaupun seminggu lalu kejayaan ini dilakar Azizul, tetapi saya rasa bagaikan semalam. Ini kerana saya cukup bangga dengan anak jati Dungun, Terengganu itu.

Bangga bukan sekadar kejayaan yang diraih Azizul, tetapi saya bangga dan kagum dengan apa yang ada pada diri Azizulhasni Awang. Erti kata lain, Azizul memang atlet berkelas dunia.

Naik-turun prestasi, itu adalah asam garam bergelar seorang atlet dan Azizul juga menghadapi perkara sama.

Namun, bagaimana mahu bangkit dan bagaimana mahu kembali pada tahap terbaik, itu bukannya mudah dan tak semua atlet mampu menghadapi situasi itu.

Ya, memang benar kejayaan atlet adalah hasil program menyeluruh membabitkan semua pihak, tetapi halangan terakhir untuk mencapai keputusan terbaik, semuanya bergantung kepada diri atlet sendiri.

Jika kita imbas kejayaan terbaru Azizul, ia adalah kebangkitan kerana ia perlumbaan pertamanya selepas mengalami kemalangan ketika saingan Siri Piala Dunia di Brisbane, Australia pada Disember 2019 lalu.

Malah, saya percaya, seluruh peminat sukan negara dan dunia masih ingat dengan kisah pada tahun 2011, ketika betisnya tertusuk serpihan kayu ketika perlumbaan Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester dan ia bukanlah pengakhiran karier buatnya, tetapi Azizul kembali bangkit sahut cabaran dunia selepas itu.

Kebangkitan dan semangat luar biasa yang ditampilkan Azizul, pastinya memberikan inspirasi kepada semua.

Semoga inspirasi ini akan berterusan, terutama di pentas Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Pandangan peribadi saya, Azizul atau ‘The Pocket Rocketman’ pasti akan menggegarkan pentas Olimpik edisi kali ini dan tak mustahil mampu raih pingat emas pertama peribadi dan emas pertama negara.

Ayuh Azizul, perjuangan belum selesai.