Sewaktu menyaksikan persembahan Paul Pogba bersama Perancis sepanjang Euro 2020 setakat ini, pastinya satu persoalan utama berlegar-legar di minda penyokong Manchester United: "Mengapa Pogba tidak beraksi sebegini sewaktu bersama kami?"

Sungguh menghairankan, setiap kali Pogba menyarung jersi pasukan kebangsaannya, dia seolah-olah bertukar menjadi seorang pemain yang sama sekali berbeza mutu permainannya, seorang pemain yang beraksi dengan penuh tenang tanpa sebarang kerisauan yang membelenggu.

Dalam perlawanan Perancis menentang Jerman, Pogba dipilih sebagai pemain terbaik selepas hantaran silang cantiknya membuatkan barisan pertahanan Jerman menjadi huru-hara dan mengakibatkan Mats Hummels menjaringkan gol sendiri.

Dalam perlawanan menentang Portugal, dia sekali lagi melakukan satu hantaran tajam dari tengah-tengah padang untuk membolehkan Karim Benzema menjaringkan gol kedua buat Perancis.

Lebih daripada sekadar membantu melakukan jaringan, Pogba turut menyuntik elemen ketenangan buat pasukannya.



Dia memastikan kesemua rakan sepasukan kekal tenang dalam apa jua keadaan, termasuk sewaktu berhadapan dengan Cristiano Ronaldo yang cukup membara semangatnya, sehinggakan Perancis dinobatkan sebagai juara kumpulan pada akhirnya.

Penganalisis untuk stesen televisyen ITV masing-masing memberikan maklum balas cukup positif.

Bekas penyerang kebangsaan England, Alan Shearer, menggelarkan hantaran-hantaran Pogba sebagai 'sempurna' manakala pemain Crystal Palace, Andros Townsend, memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan setakat ini.

Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, pula memberikan huraian yang cukup terperinci dan kritikal.


"Tidak syak lagi dia adalah seorang pemain muda yang cukup berbakat tetapi saya tetap mahukan aksi yang lebih mantap daripadanya, terutama apabila dia beraksi bersama United.

"Ada perbezaan yang cukup jelas di antara Pogba yang bermain untuk Perancis dan Pogba yang bermain untuk United.

"Saya rasa, sewaktu dia bersama United, ada tiga kemungkinan yang berlaku; dia tidak mahu menggalas tanggungjawab, dia diberikan terlalu banyak tanggungjawab, ataupun pemain United di sekelilingnya tidak mampu menggalas tanggungjawab."



Satu perbezaan utama di antara kelab dan negara yang harus diperhatikan adalah kehadiran N'Golo Kante yang bergandingan dengan Pogba.

Kante sememangnya terkenal sebagai seorang pemain yang mampu berlari sepanjang 90 minit tanpa memerlukan walau satu detik pun untuk berehat.

Kebolehan Kante melindungi barisan pertahanan sudah terbukti, tidak kira di peringkat liga mahupun kebangsaan, maka ini membolehkan Pogba untuk mara ke kawasan lawan tanpa perlu merisaukan ancaman serangan balas.

Setakat ini, Kante dan Pogba sudah bergandingan di bahagian jentera tengah Perancis sebanyak 30 kali dan mereka tidak pernah tewas walaupun sekali, satu statistik yang menceritakan segala-galanya.

Di United, peranan pemain kreatif merupakan tanggungjawab utama Bruno Fernandes. Ini menyebabkan Pogba harus mengorbankan sedikit sumbangannya daripada sudut serangan dan lebih mengimbangi aspek pertahanan, mungkin peranan sebegini mengekang potensi penuhnya.

Satu lagi faktor penting adalah hubungan di antara pengurus Perancis, Didier Deschamps, dan Pogba.

Deschamps memberikan Pogba peluang sulung untuk beraksi pada 2013 dan pada hari ini, Pogba sudah dipilih oleh Deschamps sebagai pemain dalam pasukannya sebanyak 83 kali.

Kenyataan ini tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa hubungan Pogba dan Ole Gunnar Solksjaer, pengurus United, tidak cukup rapat, tetapi hakikatnya adalah Deschamps sudah jauh lebih lama mengenali Pogba dan mereka berdua sudah cukup masak dengan perangai masing-masing.

Menyebut tentang pengurus, krisis di antara Jose Mourinho dan Pogba pada tahun-tahun sebelum ini tidak harus dilupakan, di mana pertelingkahan di antara mereka pastinya menyebabkan prestasi Pogba merudum secara keseluruhannya.

Pada musim lepas bersama United, Pogba menjaringkan enam gol dan melakukan bantuan jaringan sebanyak sembilan kali.

Statistik ini mungkin boleh dipertingkatkan lagi jika dia tidak dibelenggu kecederaan hamstring pada awal tahun ini.

Harus diperhatikan juga bahawa United gagal memenangi beberapa perlawanan penting dalam ketiadaan Pogba.

Mungkin kualiti persembahannya berbeza di antara kelab dan negara, tetapi impaknya terhadap pasukan sememangnya cukup besar, itu sukar untuk dinafikan.

Tidak kira bagaimanapun persembahan Perancis selepas temasya Euro 2020 ini berakhir, United wajar membuat keputusan segera sama ada mereka mahu mengekalkan Pogba ataupun membiarkan dia disambar oleh kelab-kelab lain yang mungkin lebih bersesuaian untuknya.

Apa yang pasti, penyokong United akan berdoa agar persembahan mantap Pogba dapat terus dikekalkan dan memacu mereka untuk berjaya pada musim 2021-22 yang akan datang.