Kontrak baru selama lima tahun dengan gaji berjumlah £400,000 (RM1.98 juta) seminggu.

Menurut akhbar The Athletic, Manchester United sudah bersedia untuk menawarkan habuan itu kepada Paul Pogba, sekali gus menjadikan dia pemain dengan gaji tertinggi dalam kelab tersebut.

Seperti yang diketahui ramai, kontrak Pogba bersama United cuma berbaki setahun lagi dan dia dibayar sebanyak £290,000 (RM1.4 juta) seminggu ketika ini.

Tawaran gaji baru ini turut bakal menyaksikan Pogba mengatasi David De Gea yang dibayar £375,000 (RM1.8 juta) seminggu, serta gaji dua pemain yang baru ditandatangani, Jadon Sancho dan Raphael
Varane yang masing-masing dibayar sebanyak £300,000(RM1.48 juta) dan £340,000 (RM1.68 juta) seminggu.

United agak terdesak untuk memujuk Pogba supaya meneruskan khidmat bersama mereka, namun dia dikhabarkan tidak akan tergesa-gesa untuk membuat keputusan memandangkan kelab gergasi Perancis, PSG, dilaporkan masih terbuka untuk mendapatkan khidmatnya.

Meskipun rancangan PSG untuk Pogba sedikit terganggu dengan kehadiran Lionel Messi, mereka kini dikhabarkan bersedia untuk menunggu sehingga kontrak Pogba tamat sebelum menawarkan gaji yang lebih tinggi lagi daripada tawaran United, iaitu sebanyak £510,000 (RM2.5 juta) seminggu!

Disebabkan faktor ini, kemungkinan besar Pogba tidak akan menandatangani apa-apa perjanjian dengan United sehinggalah tempoh jendela perpindahan tamat pada tanggal 31 Ogos ini.

Jika United gagal dalam rundingan ini, Pogba bakal melangkah pergi secara percuma buat kali kedua, setelah terlebih dahulu melakukan perkara yang sama pada 2012 sewaktu dia berpindah untuk menyertai Juventus.

Biarpun diselubungi ura-ura yang tidak berkesudahan sebegini, persembahan Pogba sewaktu perlawanan pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris minggu lalu ternyata cukup menakjubkan.





Pogba memainkan peranan cukup penting dalam kejayaan United membelasah Leeds 5-1, di mana dia melakukan bantuan jaringan sebanyak empat kali.

Menariknya, Pogba dilaporkan telah membuat persediaan untuk memantapkan keadaan fizikalnya dengan menyertai sesi latihan kelab bola keranjang Amerika Syarikat, Miami Heat, setelah usai perjalanannya bersama pasukan kebangsaan Perancis dalam Euro 2020.

Sesi latihan intensif itu ternyata berkesudahan dengan Pogba berada dalam keadaan cukup bersedia dan cergas, sehinggakan Ole Gunnar Solksjaer sendiri memberikan pujian melambung terhadapnya setelah kemenangan dikecapi.

Dalam temu bual bersama akhbar Global Times, bekas pemain tengah Manchester United, Paul Ince, memberikan pendapatnya tentang sandiwara yang sedang berlangsung ini.

Pogba masih lagi belum menandatangani kontrak baru dan tiada siapa tahu apa yang sedang berlegar-legar dalam fikirannya.

"Jika dia hendak kekal, maka tunjukkanlah komitmen dan buktikan bahawa dia adalah pemain berkelas dunia.

"Jika dia hendak berhijrah, maka pergi sahajalah dan benarkan United menggunakan wang hasil jualannya untuk membeli pemain lain.

"Tidak kira apa pun keputusannya, saya berpendapat United masih memerlukan seorang lagi pemain tengah berkelas dunia.

"Walaupun saya sukakan Scott McTominay, hakikatnya dia masih lagi sedang belajar, sedangkan kelab memerlukan pemain yang sudah pun cukup bersedia sekarang juga."

Dilema yang dihadapi Pogba ketika ini sememangnya agak rumit. Dengan pembelian Sancho dan Varane, United ternyata membuktikan keazaman mereka untuk merampas takhta liga musim ini.

Usaha Pogba mengemudi jentera tengah adalah teramat penting kerana United tidak boleh membiarkan segala beban digalas oleh Bruno Fernandes seorang diri.

Seperti yang disebut oleh Ince, selain daripada Pogba dan Fernandes, pemain United yang lain di jentera tengah, Fred, McTominay, Nemanja Matic dan lain-lain masih belum layak digelar sebagai 'pemain berkelas dunia'.

Pemergian Pogba mungkin akan menggugat segala persiapan yang telah dilakukan dan memberikan impak kepada keharmonian pasukan juga.





Di sudut lain, peluang untuk kembali ke negara kelahirannya bersama PSG, dengan beraksi bersama barisan pemain bintang seperti Lionel Messi, Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma, Angel Di Maria dan Kylian Mbappe mungkin merupakan satu godaan yang terlalu sukar untuk ditangkis.

Hanya masa yang bakal menentukan.