Dilema Paul Pogba bersama Manchester United bagaikan satu kisah tidak berpenghujung.

Sebentar diramalkan kekal, sebentar diramalkan pergi -- satu permainan tarik tali yang agak mengjengkelkan.

Kini, sewaktu kontraknya cuma berbaki kurang daripada 12 bulan dan melihatkan kepada persembahan terkini United, masa depan Pogba di Old Trafford nampaknya hanya menunggu waktu sahaja untuk berakhir.

Barisan penyokong United sememangnya agak berbelah-bahagi berkenaan prestasi keseluruhan pemain antarabanga Perancis ini.

Ada ketikanya persembahan Pogba di atas padang menunjukkan bahawa dia adalah seorang pemain tengah berkelas dunia, ada kalanya juga dia kelihatan seperti langsung tidak membantu.

Dalam analisis pasca perlawanan sewaktu United menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara Eropah yang lalu, bekas pemain tengah United, Paul Scholes, menghamburkan kritikan tajam.

"Saya rasa, Pogba perlu 'dijaga' oleh pemain lebih berpengalaman di atas padang sehinggalah dia berusia 35 tahun nanti.

"Pogba nampaknya hanya akan mematuhi arahan pemain yang disanjung dan dihormatinya.

"Apa yang saya paling tidak suka adalah dia tidak cukup fokus dalam perlawanan.

"Ada kalanya dia kelihatan seperti sedang berkhayal dan dalam keadaan terawang-awangan."

Sewaktu siaran 'podcast' menerusi laman sesawang BBC semalam, bekas pemain Manchester City, Micah Richards, serta bekas kapten pasukan kebangsaan England, Alan Shearer, menyamakan situasi Pogba dengan seorang lagi bekas pemain tengah United, Juan Sebastian Veron.

Penyokong veteran The Red Devils pastinya masih ingat akan nama ini.

Veron dibeli dari Lazio pada 2001 dengan harga £28 juta (RM157 juta) yang merupakan rekod dunia pada waktu itu.



Malang sekali, Veron gagal untuk mencipta impak yang diharapkan dan bergelut untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama sebelum dijual kepada Chelsea, tiga tahun kemudian.

"Bagi saya, Pogba serupa sahaja dengan Veron.

"Sewaktu Veron beraksi pada zaman Alex Ferguson dahulu, peminat mengharapkan dia mempamerkan keajaiban dalam setiap perlawanan.

"Mereka menjangkakan dia akan menjaringkan gol dari jarak 40 ela, atau melakukan hantaran tajam dari jarak 60 ela dan sebagainya.

"Sayangnya, itu sememangnya tidak berlaku," ujar Richards.

"Saya setuju dengan perbandingan itu.

"Harga yang dibayar untuk membeli Veron sememangnya teramat tinggi pada tahun tersebut, maka tidak salah untuk peminat mengharapkan persembahan luar biasa.

"Veron dan Pogba kedua-duanya pemain yang teramat berbakat tetapi kita tidak melihat bakat tersebut dipamerkan secara konsisten."

Menurut laman sesawang manchestereveningnews.co.uk, United sudah pun dalam proses untuk memburu Jude Bellingham dari Borussia Dortmund sebagai pengganti Pogba.

Bellingham baru berusia 18 tahun tetapi sudah pun diangkat sebagai salah seorang pemain berkelas dunia paling berbakat untuk kelab dan juga negara.



Baru-baru ini, persembahan mantap Bellingham diberikan pujian tinggi sewaktu England membelasah San Marino 10-0.

Bellingham mencatatkan kejituan hantaran setinggi 93 peratus dan turut berjaya mengagumkan bekas kapten United, Roy Keane.

"Saya ada menonton persembahan Bellingham dalam Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini dan dia melakukan hantaran demi hantaran yang sama sekali tidak saya jangkakan untuk pemain semuda dia," ujar Keane.

United sendiri pernah cuba mendapatkan khidmat Bellingham dua tahun lalu, sehinggakan Alex Ferguson sendiri hadir demi memujuk.

Sayangnya, Bellingham akhirnya memilih untuk menurunkan tandatangan bersama Borussia Dortmund kerana percaya dia akan memperoleh lebih banyak peluang untuk beraksi bersama kesebelasan utama kelab Jerman itu.

Jika Pogba dijual akhirnya, wang hasil jualan tersebut sememangnya wajar dibelanjakan untuk mendapatkan Bellingham.

Malangnya, ketika ini, Borussia Dortmund meletakkan harga setinggi £101 juta (RM566 juta) ke atas Bellingham demi memastikan bakat muda itu tidak disambar oleh mana-mana kelab lain.

Setelah berhempas-pulas untuk mendapatkan Jadon Sancho dari kelab yang sama, mahukah United memulakan rundingan bersama Dortmund sekali lagi.

Lebih penting lagi, sanggupkah mereka memecahkan rekod dunia harga perpindahan demi seorang remaja?

Sama-sama kita nantikan.