“Saya tak tahu berapa banyak yang dia bayar Joe Hart untuk membiarkan bola itu masuk,” kata Thomas Muller dalam gurauan nakalnya terhadap gol Lukas Podolski.

Apapun, perlawanan perpisahannya dalam jersi Jerman selepas 130 kemunculan, tidak mungkin lebih baik daripada ini – diberi penghormatan selaku ketua pasukan buat kali pertama, penonton yang beremosi dan ledakan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas England dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Signal Iduna Park kelmarin.

“Anda tidak boleh menulis skrip (perpisahan) seperti itu,” tambah Muller, “Kalaupun dia membayar Hart untuk gol itu, ia tidak akan memberi apa-apa perbezaan.”

Gol terakhir Podolski untuk Jerman – 49 kesemuanya dalam karier antarabangsanya sejak 2004 – tidak pun banyak berbeza daripada setiap satu yang lain, dengan ledakan kaki kirinya yang berbisa itu.

“It was a f****** brilliant shot (Ia satu rembatan yang sangat cemerlang),” ungkap Hart seperti dipetik oleh Daily Mail.

Ia juga perpisahan antarabangsa paling sempurna buat Podolski, yang meninggalkan Arsenal pada 2015 untuk bersama Glatasaray kini.

Podolski atau ‘The Prinz’ mungkin bukan nama besar seperti Gerd Muller mahupun Karl-Heinz Rummenigge, namun dia adalah antara pemain yang paling disayangi penyokong Die Mannschaft bukan saja gara-gara ledakan kaki kirinya, malah senda-guraunya di luar padang.

“Kami menang 1-0 ke atas England dan saya yang menjaringkan gol. Saya tahu saya memiliki kaki kiri hebat yang dianugerahkan tuhan dan saya sentiasa boleh bergantung kepadanya. Saya benar-benar berbangga sepanjang 13 tahun ini,” katanya.

Sebelum sepak mula perlawanan itu, Podolski atau Poldi, 32, dipersembahkan kepada penonton sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sambil pemain-pemain England seakan-akan resah menanti dia menghabiskan ucapan panjangnya sebagai penghormatan terakhir.

Di dalam pasukan kebangsaan Jerman, Poldi adalah wira mereka dari hari pertamanya lagi. Lebih daripada itu, dia adalah ‘hayat dan roh’ Jerman sejak menang anugerah Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2006 – Jerman tewas kepada Itali dalam separuh akhir. Sejak itu, Jerman layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir setiap kejohanan utama.

Sekalipun jika dia menghabiskan lebih banyak masa di bangku pemain simpanan, Poldi adalah ‘pak lawak’ pasukan yang mampu menyatukan semua pemain.

“Kami tidak akan dapat pengganti seperti Poldi. Kami tidak punya sesiapa sepertinya,” kata Toni Kroos selepas perlawanan dengan England itu.

Barangkali ITV dalam menyiarkan siaran langsung perlawanan itu, agak keterlaluan dengan komen yang menganggap perpisahan Podolski sebagai berlebih-lebihan – dia mengambil masa yang lama berlari mengelilingi padang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong.

Jelas sekali, penyokong menyayanginya; bukan kerana dia seorang pemain terbilang tapi disebabkan dia seorang individu yeng hebat.

Lagipun, dia tidak akan mampu menyumbat 49 gol untuk pasukan negaranya – sama banyak dengan Bobby Charlton – jika dia bukan seorang yang unik.

“Ia satu detik indah dan pada masa sama menimbulkan sebak. Kami telah bersama-sama untuk satu tempoh yang lama, mengatasi banyak halangan.

“Kami mengalami banyak kekecewaan bersama tapi juga detik paling gemilang ketika menjuarai Piala Dunia 2014,” kata pengurus Jerman, Joachim Low, sebagai penghargaannya.

Kemudian, secara tiba-tiba di tengah-tengah isak tangis penyokong, gelombang ala Mexico yang dibentuk mereka sebagai penghormatan, salah seorang ikon bola sepak Jerman sudah pun hilang daripada pandangan mereka.